BERITA TERKINI   Amaran hujan berterusan tahap waspada libatkan beberapa kawasan di Sarawak berkuat kuasa sehingga Sabtu ini - MetMalaysia | 

Ringgit Naik Ke Paras RM4.14 Berbanding Dolar AS Berikutan Eksport Kukuh Pada Oktober

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Ringgit menunjukkan prestasi lebih baik berbanding dolar AS hari ini, didorong oleh laporan mengenai prestasi eksport Malaysia yang kukuh pada Oktober.

Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.1480/1530 berbanding dolar AS daripada 4.1605/1660 semasa ditutup semalam.

Eksport negara menokok 15.7 peratus tahun ke tahun kepada paras tertinggi RM148.32 bilion pada bulan lepas, dipacu oleh penghantaran barangan pembuatan yang lebih kukuh dan permintaan berterusan terhadap produk elektrik dan elektronik.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data eksport terkini -- yang menunjukkan pertumbuhan dua digit untuk bulan kedua berturut-turut -- memperlihatkan bahawa ekonomi sedang berkembang pada kadar yang baik.

"Ia juga mengatasi anggaran konsensus pertumbuhan kira-kira lapan peratus. Sementara itu, jumlah pelaburan diluluskan meningkat 13.2 peratus kepada RM285.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2025, diterajui oleh lonjakan pelaburan asing sebanyak 47.5 peratus.

“Dalam erti kata lain, pengukuhan ringgit turut dikaitkan dengan keadaan semasa ekonomi Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding yen kepada 2.6598/6632 daripada 2.6800/6838 semasa ditutup pada Selasa, mengukuh berbanding euro kepada 4.8013/8071 daripada 4.8216/8280 semalam dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4451/4516 daripada 5.4719/4791 sebelumnya.

Ringgit juga diniagakan lebih kukuh berbanding mata wang ASEAN.

Unit tempatan menokok berbanding baht Thailand kepada 12.7977/8191 daripada 12.8252/8481 semasa ditutup semalam, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1810/1851 daripada 3.1938/1982 pada Selasa, naik berbanding rupiah Indonesia kepada 248.2/248.6 daripada 248.3/248.7 dan menambah berbanding peso Filipina kepada 7.04/7.05 daripada 7.05/7.06.

-- BERNAMA