BERITA TERKINI   Kerajaan fokus projek dan program pendidikan berkualiti demi menjamin masa depan golongan muda - PM Anwar | Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kerajaan Perlu Sedia Insentif Pembiayaan Hijau Kepada PMKS

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) --  Kerajaan digesa untuk menyediakan insentif pembiayaan hijau yang dipadankan kepada pengusaha-pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi menggalakkan peralihan ke arah dekarbonisasi negara.

Senator Datuk Ng Keng Heng berkata tanpa mekanisme pembayaran berkaitan dengan skim jaminan kredit mikro yang mudah diakses, agenda hijau di Malaysia akan bersifat eksklusif, bukannya inklusif. 

"Peralihan tenaga dan agenda sifar karbon yang sedang berlaku di seluruh dunia bukan sekadar untuk memenuhi matlamat iklim, malah saya yakin ia adalah peluang ekonomi yang wajar diambil oleh negara kita melalui usahawan tempatan.

"Justeru, saya menggesa kerajaan untuk mempertimbang idea-idea memperluas insentif pemasangan solar bumbung, skim pembayaran bagi penyimpanan tenaga dan subsidi bersasar untuk industri kecil yang mahu terlibat dalam proses dekarbonisasi."

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara hari ini.

Ng turut memaklumkan beberapa pengusaha kecil di Johor telah mengambil peluang untuk menyertai insentif solar menerusi skim "net offset virtual aggregation" (NOVA) di bawah program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) dengan sokongan kerajaan negeri itu.

Selain itu, kerajaan Johor juga mengadakan program kesedaran kelestarian di Batu Pahat yang menyaksikan pihak itu melalui Pusat Kelestarian Johor mengalakkan kilang-kilang kecil dan membantu perniagaan komersial di bandar tersebut untuk beralih ke tenaga solar.

"Industri kecil di Johor seperti kilang-kilang di Batu Pahat dan Pasir Gudang telah menerima manfaat insentif solar memandangkan terdapat sokongan kukuh daripada kerajaan negeri mereka.

"Ia menyaksikan bagaimana syarikat penyedia pajakan solar layak mendapat pengecualian cukai, menjadikan pemasangan solar lebih mampu milik untuk industri kecil," katanya

Sinergi antara kesemua pemegang taruh sebegini merupakan satu kaedah bermanfaat yang wajar diperhalusi, diperbaiki dan diadaptasi, bahkan boleh disebar luas kepada industri-industri kecil di seluruh negara, tambah beliau.

-- BERNAMA