BERITA TERKINI   Isu kesesakan dan kekurangan mesin pengimbas di Linkedua akan dibawa ke KDN - Loke | Dua sindiket pengedaran dadah tumpas, dadah RM4.7 juta dirampas dalam operasi di Johor Bahru - Polis | Seramai 60,000 pelajar disasar terima manfaat MyLesen B2 Sekolah (MyB2S) dengan peruntukan RM18.5 juta - Anthony Loke | Tiga individu ditahan bantu siasatan kes lelaki maut ditembak di Skudai pada 9 Mei lepas - Polis | PRN Johor tidak dibincangkan dalam Mesyuarat MT UMNO dan pertemuan dengan Agong hari ini - Ahmad Zahid | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi, Menjejaki Pasaran Serantau

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad dan Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin seiring dengan aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

“Getah Jepun meningkat bagi sesi kesembilan berturut-turut hari ini, mengukuh ke paras tertinggi sejak Mac, dengan pasaran disokong oleh jualan kereta yang kukuh dan harga minyak yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama. 

Bagaimanapun, katanya, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh aliran menurun harga minyak mentah berikutan pergolakan politik di negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum yang menjejaskan bekalan minyak. 

Menurut peniaga itu, harga minyak menyusut pada Isnin apabila bekalan global yang mencukupi mengimbangi kebimbangan mengenai gangguan bekalan selepas AS menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam satu serbuan pada hujung minggu. 

Pada 4.29 petang, ringgit merosot kepada 4.0675/0720 berbanding dolar AS pada 4.0515/0560 ketika ditutup pada Jumaat. 

Sementara itu, ketika ini, minyak mentah Brent turun 1.37 peratus kepada US$59.92 setong.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 12.5 sen kepada 756 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik dua sen kepada 577 sen sekilogram. 

-- BERNAMA