BERITA TERKINI   Lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini - MoF | Kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion yang diumumkan hari ini adalah berasingan daripada Kemudahan Bantuan Khas PKS RM5 bilion oleh BNM serta RM5 bilion di bawah SJPP - MoF | Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | Seorang lelaki maut diserang sekumpulan gajah liar di Gua Musang hari ini - Polis | 

ECRL Bukan Sekadar Projek Rel, Perkukuh Negara Sebagai Hab Jaringan Serantau - PM Anwar

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bukan sekadar projek infrastruktur rel, tetapi inisiatif strategik negara serta simbol kerjasama dan persahabatan Malaysia-China, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menerusi hantaran di akaun media sosial Facebook miliknya hari ini berkata projek rel itu juga diyakini mampu memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab jaringan dan logistik serantau di Asia Tenggara.

Anwar berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Pengerusi China Communications Construction Co. Ltd. (CCCC) Song Hailiang bersama delegasi yang merupakan kontraktor utama bagi kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan ECRL.

"Pertemuan ini menumpukan perbincangan mengenai sokongan CCCC terhadap dasar-dasar kerajaan yang selari dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), selain menyentuh kemajuan semasa ECRL serta kepentingan memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan memberi limpahan pembangunan ekonomi kepada industri serta kawasan yang terlibat.

"Seiring kemajuan projek, saya turut menegaskan kepentingan persiapan rapi bagi fasa operasi ECRL oleh semua pihak berkepentingan," katanya.

-- BERNAMA