BERITA TERKINI   Lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini - MoF | Kemudahan pembiayaan mikro RM5 bilion yang diumumkan hari ini adalah berasingan daripada Kemudahan Bantuan Khas PKS RM5 bilion oleh BNM serta RM5 bilion di bawah SJPP - MoF | Kerajaan MADANI sedia kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi 2026, dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro, dengan pinjaman sehingga RM100,000 - MoF | 

Kerajaan MADANI Sedia Pembiayaan Mikro Lebih RM5 Bilion Untuk Peniaga Kecil Dan Usahawan

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Kerajaan MADANI menyediakan kemudahan pembiayaan mikro berjumlah lebih RM5 bilion bagi tahun ini yang dijangka memanfaatkan lebih 400,000 usahawan mikro di seluruh negara menerusi pinjaman sehingga RM100,000, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi kenyataan hari ini, MoF memaklumkan pelbagai skim pembiayaan akan disalurkan melalui agensi dan institusi kewangan pembangunan seperti Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Simpanan Nasional (BSN), TEKUN Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Agrobank dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat).

Bagi skim tertentu, kadar pembiayaan yang ditawarkan adalah serendah tiga peratus setahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi kewangan berkaitan telah diarahkan supaya mempertingkat gerak kerja bagi mendekati seramai mungkin peniaga kecil, penjaja dan usahawan mikro yang memerlukan sokongan, khususnya mereka yang berdepan kekangan modal.

“Pada masa sama, proses permohonan perlu dipermudah, syarat pembiayaan tidak membebankan dan pembiayaan diberi secara adil serta munasabah. 

“Ekonomi MADANI berpijak pada nilai ihsan, keadilan dan kesaksamaan. Kemudahan pembiayaan mikro ini mesti sampai kepada rakyat yang mahu menjana rezeki halal dan membina kehidupan yang lebih bermaruah,” kata beliau.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata kemudahan pembiayaan mikro ini disasarkan kepada pelbagai kumpulan rakyat dan usahawan mikro termasuk peniaga kecil, penjaja pasar malam, wanita, belia, pekerja gig, lepasan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kontraktor kecil, pesawah padi serta golongan asnaf.

Kemudahan pembiayaan mikro ini adalah berasingan daripada kemudahan pembiayaan PMKS yang baru diumumkan, khususnya RM5 bilion di bawah Kemudahan Bantuan Khas PKS oleh Bank Negara Malaysia serta RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP).

“Secara keseluruhan, lebih RM15 bilion sokongan pembiayaan disediakan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana pada tahun ini,” menurut MoF.

-- BERNAMA