BERITA TERKINI   Banjir di Sabah pulih sepenuhnya, pusat pemindahan terakhir di Beaufort ditutup 4 petang ini - JPBN | Inisiden letupan kompresor di sebuah universiti swasta, mangsa terlibat meningkat 10 orang termasuk seorang maut- Ketua Polis KL | Empat pelajar antara sembilan cedera dalam letupan kompresor di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara - Ketua Polis KL | Rapid Bus akan terima 250 bas elektrik termasuk 75 Rapid Penang dijangka tiba Mac ini - Loke | Bomba sahkan letupan akibat kebocoran gas penghawa dingin di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, dua kakitangan cedera. | 

Pro Qaseh Technique Teroka Peluang Pelaburan Industri Minyak Dan Gas Di Aceh

Oleh Mohd Zaid Mohd Noor

CHUKAI, 7 Jan (Bernama) -- Pro Qaseh Technique Sdn Bhd (Pro Qaseh Technique) memperluaskan perniagaannya di peringkat serantau dengan menjadi penyelaras di antara pelabur dengan kerajaan Aceh, Indonesia bagi meneroka peluang pelaburan dalam industri minyak dan gas di wilayah itu.

Pengarahnya Tunku Faris Tunku Khalil berkata inisiatif berkenaan bertujuan membuka ruang kerjasama kepada syarikat Malaysia yang memiliki keupayaan kewangan serta kepakaran teknikal bagi menyertai pelaburan strategik khususnya berkaitan pembangunan serta pengaktifan semula aset minyak dan gas sedia ada di Aceh.

Menurutnya, usaha berkenaan selari dengan hasrat kerajaan tempatan untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan asing yang berdaya maju dan mampan.

“Sebagai penyelaras, Pro Qaseh Technique berperanan sebagai pemudah cara komunikasi dan libat urus di antara pelabur dengan pihak berkuasa Aceh termasuk penyelarasan awal berkaitan peluang pelaburan, kefahaman terhadap kerangka peraturan tempatan serta keperluan teknikal projek.

“Pendekatan ini bertujuan memastikan setiap potensi pelaburan dapat dinilai dan dilaksanakan secara berstruktur serta selaras dengan keperluan semua pihak berkepentingan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Tunku Faris yang juga Pengerusi Biro Antarabangsa Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) berkata pendekatan kerjasama yang lebih tersusun itu dijangka meningkatkan keyakinan pelabur luar selain membantu kerajaan tempatan memanfaatkan sumber tenaga secara optimum.

Selain itu, beliau berkata penglibatan syarikat Malaysia turut membuka peluang kepada pemindahan kepakaran dan penggunaan teknologi di samping menyokong pembangunan tenaga kerja tempatan.

Beliau berkata peranannya dalam Perdasama turut membantu menghubungkan jaringan perniagaan Malaysia dengan pihak berkepentingan di Aceh secara lebih teratur dan bertumpu.

“Melalui platform ini, syarikat Malaysia yang berminat dan berkelayakan digalakkan untuk berhubung dengan Pro Qaseh Technique bagi mendapatkan maklumat lanjut serta meneroka potensi penyertaan dalam pelaburan industri minyak dan gas di Aceh.

“Kerjasama rentas sempadan itu dijangka menyumbang kepada pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dan Aceh, di samping menyokong pembangunan sektor tenaga yang lebih mampan dan berdaya saing di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA