BERITA TERKINI   UEC: Sebarang pengiktirafan mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan - Ahmad Zahid | Pemerkasaan pendidikan tahfiz di pelbagai peringkat, bukti komitmen kerajaan bina generasi Huffaz Profesional - Ahmad Zahid | Liga Super: Kelantan TRW FC 3-2 Sabah FC | Liga Super: Terengganu FC 1-0 DPMM FC | 

Pasaran Getah Ditutup Lebih Rendah

 

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi & Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih rendah pada Selasa, didorong oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), selain isyarat bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah penanda aras, kata seorang peniaga. 

Beliau berkata harga minyak berubah bercampur-campur berikutan kebimbangan mengenai bekalan akibat pergolakan di Iran dan ancaman AS untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap negara yang berurus niaga dengan Tehran. 

“Sentimen pasaran terjejas oleh ancaman tarif baharu oleh AS ke atas negara-negara yang berdagang dengan Iran di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang berterusan,” katanya kepada Bernama. 

Pada sesi pagi, ringgit meningkat kepada 4.0580/0685 berbanding dolar AS berbanding 4.0605/0660 ketika ditutup pada Isnin.

Menurut peniaga itu, harga terus ditekan oleh pertumbuhan eksport China yang mencatatkan rekod, didorong oleh kepelbagaian dalam destinasi penghantaran yang dijangka perlahan pada Disember 2025, dengan prospek tahun depan bergantung kepada kejayaan pengeluar berkembang dalam pasaran baharu. 

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ikrar China untuk memacu ekonominya pada 2026 apabila pedagang meneliti laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengenai penyusutan bekalan getah asli (NR) tempatan di tengah-tengah kebimbangan mengenai kekurangan bekalan NR yang berterusan berikutan musim hujan,” tambahnya. 

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 susut sembilan sen kepada 757.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun sedikit sebanyak satu sen kepada 575 sen sekilogram. 

-- BERNAMA