BERITA TERKINI   UEC: Sebarang pengiktirafan mesti berpaksi Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan - Ahmad Zahid | Pemerkasaan pendidikan tahfiz di pelbagai peringkat, bukti komitmen kerajaan bina generasi Huffaz Profesional - Ahmad Zahid | Liga Super: Kelantan TRW FC 3-2 Sabah FC | Liga Super: Terengganu FC 1-0 DPMM FC | 

Harga Emas Dijangka Kekal Kukuh Ketika Tekanan Geopolitik - Persatuan Emas Malaysia

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Harga emas dijangka meneruskan aliran meningkat tahun ini berikutan ketegangan geopolitik yang berterusan dan ketidaktentuan global, kata Pengerusi Lembaga Penasihat Syariah Persatuan Emas Malaysia Datuk Prof Dr Mohamad Akram Laldin.

Bercakap kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Bernama TV, The Nation bertajuk 'The Future of Shariah-Compliant Gold' hari ini, beliau berkata, dalam keadaan yang tidak menentu, pelabur lazimnya beralih kepada emas sebagai aset selamat.  

“Setiap kali berlaku gangguan dalam pasaran atau ekonomi lain, mereka akan membeli emas, sekali gus meningkatkan harga komoditi itu,” katanya merujuk kepada harga emas yang telah meningkat 40 peratus sejak Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tarif yang memberi impak besar pada April 2025 sehingga menjejaskan pasaran global.

Harga emas dilaporkan meningkat kira-kira 40 peratus tahun lepas, dengan harga pada masa ini mencecah RM608 segram bagi emas 24 karat.

“Saya optimis bahawa harga akan meningkat, namun kadang-kadang mungkin menyusut. Bagaimanapun, penurunannya tidak akan terlalu ketara dan tidak menyusut ke paras terendah memandangkan harga dijangka kekal stabil,” katanya.

Pada masa hadapan, beliau menjangka trend harga emas mencerminkan prestasi tahun lepas, katanya sambil memaklumkan ketidaktentuan yang berlaku pada 2025 mungkin berterusan sehingga 2026 sekali gus mengekalkan trajektori semasa.

Ketika ditanya sama ada niaga hadapan emas boleh mencecah US$5,000 bagi setiap auns troy tahun ini, beliau berkata keadaan itu mungkin berlaku.

Beliau merujuk kepada kontrak bulan semerta baharu Januari 2026 yang telah mencatat paras US$4,608.10 bagi setiap auns troy. (US$1 = RM4.06).

“Sukar untuk dipastikan, tetapi ia mungkin mencecah US$5,000 setiap auns troy tahun ini,” katanya.

Mohamad Akram menjangka jumlah pelabur emas patuh Syariah di Malaysia meningkat pada tahap stabil berikutan ia menawarkan ciri tersendiri di bawah prinsip Syariah, dengan transaksi emas perlu disokong oleh emas fizikal sebenar.

“Lazimnya, ia akan lebih selamat kerana sekiranya saya membeli emas, saya boleh memanfaatkan emas. Ia bukan sekadar bersandarkan angka, tetapi saya menggunakan emas fizikal sebenar memandangkan ini adalah tuntutan Syariah.

“Oleh itu, pelabur yang memahami risiko dalam pelaburan dan pelaburan emas pasti akan memilih produk Syariah,” katanya.

-- BERNAMA