BERITA TERKINI   Ekonomi Malaysia diunjur berkembang 5.7 peratus pada suku keempat 2025, disokong oleh prestasi sektor utama ekonomi yang memberangsangkan dan permintaan domestik yang kukuh - DOSM | KDNK suku keempat 2025 dijangka tunjuk pertumbuhan positif - Akmal Nasrullah | 

Bursa Malaysia Dibuka Tinggi, Indeks Komposit Lepasi Paras 1,720

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, menjejaki prestasi kukuh semalaman di Wall Street dan sentimen tempatan yang lebih baik menjelang anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2025 yang akan dikeluarkan hari ini.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.32 mata atau 0.37 peratus kepada 1,721.48 daripada 1,715.16 semasa ditutup pada Khamis selepas dibuka 2.47 mata lebih tinggi kepada 1,717.63.

Indeks petunjuk pasaran itu juga melepasi paras tertinggi sebelumnya iaitu 1,719.00 pada 26 Feb 2019.

Sentimen pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 169 berbanding 85. Sebanyak 272 kaunter tidak berubah, manakala 2,130 tidak diniagakan dan 22 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 107.72 juta saham bernilai RM65.45 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meningkat untuk ditutup lebih kukuh berikutan sentimen positif terhadap saham berkaitan kecerdasan buatan selain pendapatan yang teguh daripada sektor perbankan, yang mendorong kenaikan dalam kedua-dua segmen itu.

Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI mengekalkan momentum mengagumkan untuk ditutup lebih tinggi semalam, meskipun prestasi lemah pada awal sesi dagangan

“Kami yakin dana asing akan terus mengumpul ekuiti tempatan, seperti yang ditunjukkan oleh aliran masuk asing bersih sejak beberapa sesi lepas. Oleh itu, kami menjangka indeks akan berada dalam lingkungan 1,710 hingga 1,720 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Pengarah, Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan pula kekal optimis bahawa pertumbuhan ekonomi untuk suku keempat 2025 akan berada pada sekitar lima peratus, yang akan meletakkan pengembangan sepanjang tahun 2025 pada kira-kira 4.8 peratus, mengukuhkan prospek pemulihan yang berdaya tahan dan dipacu permintaan domestik.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM11.20 dan Tenaga Nasional meningkat enam sen kepada RM13.98. Public Bank rendah satu sen kepada RM4.74 manakala CIMB dan IHH tidak berubah masing-masing pada RM8.45 dan RM8.43.

Bag saham paling aktif, Northeast meningkat 4.5 sen kepada 64 sen dan HHRG menambah satu sen kepada 7.5 sen. TWL tidak berubah pada 2.5 sen, manakala MMAG susut setengah sen kepada 4.5 sen dan NexG merosot dua sen kepada 29.5 sen.

Antara saham paling untung, Nestle melonjak RM1.50 kepada RM117.50, Petronas Gas meningkat 34 sen kepada RM18.96, Malaysian Pacific naik 28 sen kepada RM33.98, Batu Kawan mengukuh 24 sen kepada RM20.26 dan Alliance Bank meningkat 13 sen kepada RM5.59.

Saham paling rugi termasuk Malayan Cement yang menyusut 11 sen kepada RM7.72 manakala Telekom Malaysia, MNRB, Westports dan Kellington masing-masing rendah empat sen kepada RM7.71, RM2.25, RM6.08 dan RM5.51.

Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas meningkat 41.59 mata kepada 12,698.23, Indeks FBM Top 100 naik 43.20 mata kepada 12,493.22 manakala Indeks FBM Emas Shariah menambah 39.58 mata kepada 12,366.64.

Indeks FBM Mid 70 meningkat 49.37 mata kepada 17,734.93 dan Indeks FBM ACE naik 10.64 mata kepada 4,976.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 83.98 mata kepada 20,788.26, Indeks Tenaga naik 0.17 mata kepada 786.60, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.08 mata kepada 174.81 manakala Indeks Perladangan naik 1.88 mata kepada 8,450.91.

-- BERNAMA