BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | 

Pasaran Getah Ditutup Tinggi Susulan Harga Minyak Mentah Stabil, Permintaan Getah Kukuh

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 10 Feb  (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi hari ini, dipacu oleh harga minyak mentah yang stabil, menurut seorang peniaga.

Beliau berkata harga minyak kekal stabil apabila para pedagang menilai risiko gangguan bekalan selepas Amerika Syarikat mengeluarkan panduan kepada kapal-kapal yang melalui Selat Hormuz, menjadikan ketegangan antara Washington dan Tehran sebagai tumpuan utama.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.43 peratus kepada US$69.34 setiap tong.

Sentimen pasaran turut disokong oleh permintaan getah yang kukuh.

“Permintaan daripada kilang-kilang di luar China, yang umumnya bersedia membayar harga lebih tinggi untuk bahan mentah, telah menyokong kos getah asli,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, peniaga itu berkata kenaikan lanjut mungkin terhad susulan jangkaan permintaan tayar yang lebih lemah menjelang Tahun Baharu Cina.

“Harga getah dijangka menghadapi tekanan minggu ini dan minggu depan apabila pengeluar tayar mengurangkan permintaan sambil menutup operasi mereka menjelang sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

Pada 3 petang, Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 naik 6.5 sen kepada 764.50 sen sekilogram (kg), manakala lateks pukal meningkat dua sen kepada 578.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA