Pertumbuhan Ekonomi Catat Prestasi Positif, Atasi Unjuran Awal - Fahmi
PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang berkembang 6.3 peratus pada suku keempat 2025 berbanding angka pada tempoh sama tahun lepas merupakan prestasi yang cukup positif dan mengatasi unjuran awal.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pertumbuhan itu jauh lebih tinggi daripada anggaran awal yang dikeluarkan.
Beliau berkata secara keseluruhan bagi setahun penuh 2025, kadar pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) meningkat kepada 5.2 peratus berbanding unjuran awal 4.9 peratus.
“Ini juga lebih tinggi apabila kita membandingkan dengan kadar pertumbuhan KDNK 2024 iaitu 5.1 peratus. Antara sektor yang telah menyumbangkan pertumbuhan paling tinggi adalah sektor pembinaan sebanyak 11 peratus," katanya pada sidang media mingguan di sini, hari ini.
Beliau berkata kedudukan Bursa Saham Malaysia berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tujuh tahun, nilai ringgit tergolong dalam antara 10 mata wang berprestasi terbaik di Asia, kadar inflasi rendah pada 1.4 peratus dan defisit fiskal berada pada 3.7 peratus, lebih baik daripada jangkaan 3.8 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan KDNK suku keempat 2025 itu merupakan tertinggi dalam tempoh tiga tahun dan mengatasi anggaran awal.
-- BERNAMA