Bursa Malaysia Terus Catat Kenaikan, Ditutup Pada Paras Tinggi
Oleh Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia meneruskan momentum positifnya untuk ditutup tinggi pada Khamis berikutan sentimen pasaran positif yang dipacu oleh data makroekonomi yang lebih kukuh daripada jangkaan.
Bursa tempatan turut mendapat sokongan daripada kenaikan di Wall Street semalaman serta prestasi kukuh pasaran serantau.
Terdahulu, pasaran ditutup pada 17 dan 18 Februari sempena cuti Tahun Baharu Cina.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 10.85 mata atau 0.62 peratus kepada 1,752.11 berbanding paras penutup 1,741.26 pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 6.82 mata lebih tinggi pada 1,748.08 dan bergerak antara 1,755.08 hingga 1,743.63 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran secara keseluruhan turut mencatat prestasi positif apabila kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 748 berbanding 288, manakala 483 kaunter tidak berubah, 1,218 tidak diniagakan dan 11 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.04 bilion unit bernilai RM2.52 bilion berbanding 1.81 bilion unit bernilai RM1.81 bilion pada Isnin.
Pengarah Strategi Pelaburan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata kebanyakan pasaran ekuiti serantau ditutup lebih tinggi, sekali gus mengukuhkan sentimen risiko yang konstruktif dan menyokong indeks penanda aras tempatan.
“Kebanyakan indeks utama ditutup positif, mencerminkan minat belian yang meluas. Dalam kalangan komponen penanda aras, saham perbankan menerajui kenaikan susulan selera risiko yang kembali meningkat, manakala kaunter utiliti ketinggalan berikutan penggiliran sektor.
“Dari segi sektor, Indeks Tenaga mengatasi prestasi dengan meningkat lebih dua peratus, didorong lonjakan melebihi tujuh peratus dalam beberapa saham tenaga hijau terpilih,” katanya kepada Bernama.
Mohd Sedek berkata pasaran Amerika Syarikat turut ditutup lebih tinggi pada sesi sebelumnya apabila keyakinan terhadap daya tahan sektor pembuatan kembali menjadi tumpuan apabila tempahan barangan tahan lama dan pengeluaran perindustrian mencatat bacaan melebihi jangkaan.
“Dari sudut ekonomi, data Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia bagi Januari yang diumumkan hari ini menunjukkan inflasi keseluruhan kekal pada 1.6 peratus tahun ke tahun, manakala inflasi teras tidak berubah pada 2.3 peratus, mencerminkan keseimbangan tekanan harga yang bertentangan.
“Tekanan menaik itu diimbangi oleh penurunan harga pengangkutan dan tenaga yang memasuki wilayah negatif pada bulan tersebut, sekali gus memberi kesan pengimbang kepada indeks keseluruhan,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 12 sen kepada RM12.06, Public Bank meningkat 10 sen kepada RM5.06, CIMB dan IHH Healthcare masing-masing menambah sembilan sen kepada RM8.47 dan RM8.91, manakala Tenaga Nasional susut 16 sen kepada RM14.26.
Bagi kaunter paling aktif, Zetrix AI turun setengah sen kepada 85.5 sen, Tanco dan Capital A masing-masing naik satu sen kepada RM1.44 dan 60.5 sen, Sime Darby meningkat enam sen kepada RM2.40, manakala 99 Speed Mart merosot 23 sen kepada RM3.50.
Antara kaunter untung utama, Malaysian Pacific Industries melonjak 80 sen kepada RM30.78, Allianz Malaysia naik 40 sen kepada RM22.66, Petronas Dagangan menambah 38 sen kepada RM21, Hong Leong Financial meningkat 32 sen kepada RM22.32 dan Kelington naik 31 sen kepada RM5.11.
Selain 99 Speed Mart dan Tenaga Nasional, kaunter rugi utama lain termasuk Southern Acids yang susut 17 sen kepada RM3.28, Dutch Lady Milk turun 14 sen kepada RM33.14 dan Teo Guan Lee berkurangan tujuh sen kepada 83 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 meningkat 99.25 mata kepada 12,678.47, Indeks FBM Emas naik 103.92 mata kepada 12,860.47, Indeks FBM Mid 70 menambah 233.21 mata kepada 17,831.80, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 94.69 mata kepada 12,403.79 dan Indeks FBM ACE naik 55.72 mata kepada 4,828.51.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 206.68 mata kepada 21,565.10, Indeks Perladangan naik 41.96 mata kepada 8,402.31, Indeks Tenaga menambah 19.29 mata kepada 774.11 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 1.24 mata kepada 178.50.
Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 1.35 bilion unit bernilai RM2.37 bilion berbanding 1.15 bilion unit bernilai RM1.68 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran menokok kepada 467.07 juta unit bernilai RM53.90 juta berbanding 401.15 juta unit bernilai RM49.71 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 227.62 juta unit bernilai RM97.82 juta berbanding 259.17 juta unit bernilai RM80.65 juta pada Isnin.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 224.63 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (147.27 juta), pembinaan (117.67 juta), teknologi (275.17 juta), perkhidmatan kewangan (108.28 juta), hartanah (159.68 juta), perladangan (16.13 juta), amanah pelaburan hartanah (26.36 juta), dana tertutup (sifar), tenaga (94.67 juta), penjagaan kesihatan (56.44 juta), telekomunikasi dan media (47.57 juta), pengangkutan dan logistik (43.29 juta), utiliti (27.71 juta) serta amanah perniagaan (735,400).
-- BERNAMA