BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-1 Kuching City FC | Konflik Timur Tengah: Kerajaan akan cuba pertahankan harga minyak RON95 RM1.99 seliter - PM Anwar | 

Untung Bersih Axiata Turun Kepada RM364.6 Juta Bagi Tahun Kewangan 2025

KUALA LUMPUR, 26 Feb (Bernama) -- Keuntungan bersih Axiata Group Bhd susut kepada RM364.62 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2025 daripada RM946.82 juta pada tahun kewangan sebelumnya berikutan penjualan dan susut nilai sekali sahaja.

Syarikat telekomunikasi itu menjelaskan perolehan juga turun 6.3 peratus kepada RM11.76 bilion daripada RM12.54 bilion bagi tempoh yang sama, terutama ekoran kesan terjemahan mata wang asing yang kurang memberangsangkan susulan penyusutan mata wang syarikat operasi (OpCo) berbanding ringgit.

“Pada kadar mata wang malar, perolehan kumpulan meningkat 2.2 peratus, disumbangkan oleh semua OpCo kecuali operasi infrastruktur EDOTCO dan Linknet,” tambahnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.

Bagi suku keempat berakhir 31 Dis, 2025, kerugian bersih Axiata mengecil kepada RM38.68 juta daripada RM224.77 juta dalam tempoh sama 2024, manakala perolehan meningkat kepada RM2.98 bilion daripada RM2.97 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan Vivek Sood berkata 2025 menjadi penutup bagi fasa penting dalam transformasi Axiata apabila pihaknya melengkapkan Strategi Axiata 5*5 yang dilancarkan pada 2023.

“Sepanjang tiga tahun lepas, kami memperkukuh teras syarikat operasi, meningkatkan daya tahan kewangan dan memperkemas tumpuan strategik merentas pasaran.

“Pelaksanaan yang berdisiplin membolehkan kami meningkatkan prestasi aliran tunai dan meneguhkan kedudukan lembaran imbangan kumpulan,” katanya.

Beliau berkata kalangan syarikat operasi kumpulan kini berada pada kedudukan positif untuk menjana aliran tunai yang kukuh dalam struktur pasaran yang lebih rasional susulan konsolidasi pasaran utama telah dilengkapkan dan penyepaduan berjalan dengan baik.

“Pasaran utama kami terus menunjukkan daya tahan dan menyumbang aliran tunai yang stabil, manakala di Malaysia dan Indonesia, sinergi penggabungan diterjemahkan kepada peningkatan kebolehlihatan keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Axiata Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata memandangkan kumpulan beralih kepada “Axiata28: Advancing Asia”, tumpuan pihaknya kekal pada peruntukan modal yang berdisiplin, pelaksanaan yang konsisten dan mengekalkan pulangan merentas portfolio yang lebih tertumpu dan berdaya tahan.

“Seiring dengan prestasi Axiata, lembaga pengarah berbesar hati mengumumkan dividen kedua sebanyak lima sen sesaham. Ini menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan sebanyak 10 sen sesaham bagi setahun penuh 2025,” katanya.

Axiata menjelaskan dalam melangkah maju, kumpulan akan melangkah ke fasa seterusnya dalam usaha strategik yang berteraskan portfolio telekomunikasi dan teknologi, dengan tumpuan berterusan terhadap keuntungan dan pertumbuhan penilaian, untuk memberikan pulangan mampan kepada pemegang saham.

-- BERNAMA