BERITA TERKINI   Liga Super: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 Terengganu FC | Super League: Kelantan The Real Warriors FC 0-2 Terengganu FC | 

Lufthansa Bekerjasama Dengan Kerajaan Hantar Balik Pengembara Terkandas

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Lufthansa Group berharap dapat menyambung semula penerbangan secara berperingkat ke beberapa kawasan di Timur Tengah bermula akhir minggu ini, kata Naib Presiden Asia Pasifik, Timur Tengah dan Usaha Sama Timur kumpulan itu Felipe Bonifatti.

Beliau berkata kumpulan penerbangan Eropah itu turut bekerjasama rapat dengan kerajaan dan Kementerian Luar untuk membantu membawa pulang pengembara yang terkandas memandangkan keadaan keselamatan yang masih tidak menentu selepas konflik yang tercetus di rantau itu Sabtu lepas.

Beliau berkata operasi ke beberapa destinasi telah digantung berikutan gangguan meluas di ruang udara serta ketegangan geopolitik yang meningkat, namun perkhidmatan akan disambung semula secara berperingkat apabila keadaan mengizinkan.

Sehingga kini, Lufthansa Group mempunyai kira-kira 150 kekerapan penerbangan di rantau Timur Tengah.

Dilaporkan kira-kira 27,000 penerbangan ke Timur Tengah telah dibatalkan sejak Sabtu lepas yang menjejaskan ribuan penumpang.

Kumpulan syarikat penerbangan itu berkata pihaknya melaksanakan usaha sebaik mungkin untuk mengatur penerbangan bagi membantu penumpang yang terkandas.

Penerbangan ke Larnaca, Cyprus dijadualkan disambung semula pada 7 Mac manakala perkhidmatan ke Dubai, Abu Dhabi dan Dammam masih dihentikan sehingga 10 Mac.

Sementara itu, penerbangan ke Amman dan Erbil turut ditangguhkan sehingga 15 Mac, diikuti oleh Tel Aviv sehingga 22 Mac, Beirut sehingga 28 Mac, dan Tehran sehingga 30 April.

Bonifatti berkata kumpulan syarikat penerbangan itu sedang memantau perkembangan dengan teliti sebelum memulakan semula operasi.

Walaupun tempoh untuk perkhidmatan itu pulih sepenuhnya belum dapat dipastikan, Bonifatti berkata kumpulan itu akan terus menilai rapi keadaan sebelum menyambung semula penerbangan.

“Kedaan masih tidak stabil. Persoalannya adalah, bilakah masa yang selamat untuk kru dan pelanggan kami terbang, dan apabila tiba masanya, kami akan kembali beroperasi,” katanya baru-baru ini.

Kumpulan itu juga membantu penumpang yang terjejas dengan menjadualkan semula penerbangan ke tarikh lain tanpa caj, atau mendapatkan bayaran balik penuh harga tiket.

“Keutamaan adalah untuk membawa pulang semua anak kapal yang terkandas di sekitar rantau ini serta kakitangan perkhidmatan darat yang ingin meninggalkan negara terbabit,” katanya.

Bonifatti berkata pihaknya juga bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkuasa untuk mengendalikan penerbangan khas dan penerbangan hantar pulang bagi membantu pengembara yang terkandas serta rakyat yang ingin pulang ke negara asal.

Awal minggu ini, kumpulan itu mengendalikan penerbangan hantar pulang  khas dari Muscat, ibu negara Oman, ke Frankfurt bagi pihak kerajaan Jerman, menggunakan pesawat Airbus A340-300 untuk membawa pulang rakyat Jerman.

Secara berasingan, SWISS, sebuah lagi syarikat penerbangan di bawah Lufthansa Group, turut mengendalikan penerbangan khas dari Muscat ke Zurich pada 5 Mac, yang membawa 211 penumpang termasuk yang terkandas dari pelbagai negara.

“Ini adalah urusan melibatkan manusia. Kami menghubungkan ekonomi, kami menghubungkan budaya, namun pada asasnya kami juga menghubungkan manusia. Dalam keadaan seperti ini, ada keperluan untuk penerbangan masuk dan keluar dari rantau itu -- kebanyakannya keluar pada masa ini, dan kami menyokongnya,” katanya.

Selain misi pemindahan dan hantar pulang, kumpulan syarikat penerbangan itu juga telah melaksanakan penerbangan tambahan di luar kawasan terjejas bagi membantu penumpang yang terkandas mengubah laluan perjalanan melalui hab alternatif.

Bonifatti berkata perkhidmatan tambahan telah dilakukan dari Bangkok ke Vienna, membolehkan penumpang menyambung perjalanan ke Eropah dan destinasi global lain melalui rangkaian Lufthansa Group.

Beliau berkata Timur Tengah kekal sebagai pasaran penting bagi pihaknya, yang beroperasi di seluruh rantau itu melalui beberapa syarikat penerbangan termasuk Lufthansa, Austrian Airlines, Swiss International Air Lines dan anak syarikat tambang rendah, Eurowings.

Kumpulan syarikat penerbangan itu kekal komited terhadap Timur Tengah, dan 2026 merupakan tahun ke-50 bagi operasi Lufthansa ke Dubai.

Bonifatti berkata walaupun garis masa bagi pemulihan perkhidmatan sepenuhnya masih tidak menentu namun kumpulan itu akan terus menilai keadaan dengan teliti sebelum menyambung semula penerbangan.

Lufthansa Group juga membantu penumpang yang terjejas dengan menempah semula penerbangan mereka ke tarikh yang lebih lewat, tanpa sebarang caj, atau mendapat bayaran balik sepenuhnya harga tiket mereka.

-- BERNAMA