BERITA TERKINI   Lembaga Disiplin JPA akan bermesyuarat berhubung hasil laporan siasatan isu pemilikan saham KP SPRM dalam masa terdekat - KSN | Kenaikan gred pembantu tadbir Gred 1 kepada Gred 5 dilaksana secara berperingkat, ambil kira pelbagai syarat kelayakan - KSN | Harga minyak mentah Brent turun kepada US$94.22 setong hari ini berbanding paras tertinggi semalam pada US$118.60 setong | Konflik Asia Barat: KPDN tingkat pemantauan risiko penyeludupan bahan api di sempadan negara - Armizan | Skim Harga Maksimum Musim Perayaan berkuat kuasa 14-28 Mac, libatkan 27 jenis barangan - Armizan | 

Rizab Antarabangsa BNM Cecah Paras Tertinggi Dalam 11 Tahun – Kenanga IB

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) mencecah US$128.3 bilion setakat 27 Feb, 2026, paras tertinggi dalam tempoh lebih 11 tahun, disokong oleh pengukuhan pegangan pertukaran asing dan peningkatan rizab emas.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), rizab meningkat sebanyak US$1.4 bilion atau 1.1 peratus bulan ke bulan, sekali gus mencatat paras tertinggi sejak Ogos 2014.

“Meskipun terdapat peningkatan, liputan import susut kepada 4.7 bulan (Januari: 4.8), manakala nisbah rizab kepada hutang luar jangka pendek kekal tidak berubah pada 0.9 kali,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan.

Kenanga IB berkata rizab mata wang asing meneruskan aliran meningkat untuk bulan ke-11 berturut-turut, naik US$1.2 bilion (1.1 peratus bulan ke bulan) kepada US$112.5 bilion, meskipun berlaku aliran keluar modal bersih.

“Rizab pertukaran asing bersih meningkat kepada paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan iaitu US$79.5 bilion pada Januari (Disember: US$77.2 bilion), mencerminkan pengurangan pengaliran keluar bersih jangka pendek yang telah ditetapkan,” katanya.

Rizab emas turut meningkat sebanyak US$0.2 bilion (3.7 peratus bulan ke bulan dan 87.6 peratus tahun ke tahun) kepada paras rekod US$6.1 bilion.

“Ini berkemungkinan mencerminkan satu lagi pusingan pembelian selepas BNM meningkatkan pegangan kepada 1.36 juta auns troy tulen pada Januari (Februari: 1.25 juta), peningkatan pertama sejak Oktober 2018,” kata Kenanga IB.

Sementara itu, ringgit mengukuh untuk bulan keempat berturut-turut pada Februari dengan kenaikan 3.0 peratus, menggandakan peningkatan 1.5 peratus pada Januari.

Gandingan dolar Amerika Syarikat (AS)-ringgit mencatat purata 3.91 pada Februari 2026 (Januari 2026: 4.03), iaitu paras paling kukuh sejak April 2018.

“Pergerakan ini mencerminkan kelemahan dolar AS apabila pelabur semakin cenderung menjual mata wang itu ketika kenaikan sementara, berbanding membelinya untuk mengambil peluang kenaikan tersebut. Ini mencerminkan keyakinan terhadap dolar AS kekal merosot, selain sentimen untuk mengurangkang pegangan terhadap aset AS terus berlegar dalam pasaran.

“Pasaran juga menilai semula risiko perdagangan selepas Presiden Donald Trump menggantikan rejim tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA) dengan surcaj 15 peratus, sekali gus mengurangkan risiko peningkatan ketegangan perdagangan yang lebih ketara,” kata nota itu.

Kenanga IB mengekalkan sasaran nilai ringgit pada 3.95 menjelang akhir 2026, namun menyatakan ketidaktentuan pergerakan ringgit melebar dengan ketara berikutan perubahan struktur yang digambarkan sebagai “dekomoditisasi” ringgit.

-- BERNAMA