Jualan Singkat Saham Tiga Syarikat O&G Digantung Hari Ini

KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Jualan singkat di bawah jualan singkat harian (IDSS) untuk tiga syarikat berkaitan minyak dan gas (O&G) di Bursa Malaysia telah digantung sepanjang hari ini.

Syarikat itu ialah Hengyuan Refining Company Bhd, Petra Energy Bhd dan Hibiscus Petroleum Bhd. 

Dalam makluman, Bursa Malaysia memaklumkan ia telah digantung untuk sepanjang hari berikutan harga terakhir sekuriti yang diluluskan merosot lebih 15 peratus atau 15 sen daripada harga rujukan.

Katanya jualan singkat di bawah IDSS hanya akan diaktifkan esok (Rabu) pada 8.30 pagi.

Setakat 11.50 pagi, saham Hengyuan Refining merosot sehingga 22 sen atau 11.57 peratus kepada RM1.68 dan saham Hibiscus Petroleum menurun 19 sen atau 7.95 peratus kepada RM2.39 manakala saham Petra Energy berkurangan 9.5 sen atau 11.37 peratus kepada 74 sen. 

Saham Petra Energy merosot sehingga 18 sen kepada 65.5 sen pada kira-kira 10 pagi ini.

Pasaran Asia mencatatkan jualan serantau semalam berikutan lonjakan harga minyak mentah menjejaskan iklim pelaburan.

Bagaimanapun, Bursa Malaysia meningkat semula hari ini selaras dengan kenaikan Wall Street selepas Presiden AS Donald Trump memberi isyarat bahawa konflik dengan Iran mungkin akan berakhir tidak lama lagi.

Setakat ini, harga minyak mentah Brent merosot 5.01 peratus kepada US$94.45 setong.

-- BERNAMA