Jualan Sektor Pembuatan Naik 7.1 Peratus Kepada RM169.4 Bilion Pada Januari 2026 -- DOSM
KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Sektor pembuatan mencatatkan peningkatan nilai jualan sebanyak RM169.4 bilion pada Januari 2026, meningkat 7.1 peratus berbanding 6.4 peratus kepada RM168.6 bilion pada Disember 2025, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan nilai jualan dalam sektor pembuatan disumbangkan terutamanya oleh subsektor peralatan elektrik dan elektronik, tumbuh 15.6 peratus pada Januari 2026 (Disember 2025: 12.6 peratus).
"Pertumbuhan ini turut disokong lagi oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang masing-masing meningkat sebanyak 12.4 peratus (Disember 2025: 10.4 peratus) dan 5.7 peratus (Disember 2025: 5.3 peratus).
"Perbandingan bagi bulan ke bulan, nilai jualan meningkat 0.5 peratus dari RM168.6 bilion yang direkodkan pada Disember 2025," katanya.
Mohd Uzir berkata, pertumbuhan nilai jualan bagi industri berorientasikan eksport yang mewakili 70.2 peratus daripada jumlah jualan, bertambah baik sebanyak 7.2 peratus pada Januari 2026 (Disember 2025: 6.8 peratus).
"Prestasi ini terutamanya dipengaruhi oleh peningkatan dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal sebanyak 17.9 peratus (Disember 2025: 13.3 peratus).
"Tambahan, pembuatan minyak serta lemak daripada sayuran dan haiwan meningkat 13.0 peratus (Disember 2025: 11.1 peratus) sementara pembuatan jentera dan peralatan t.t.t.l. tumbuh 7.7 peratus (Disember 2025: 9.2 peratus)," katanya.
Beliau memberitahu, berbanding kepada nilai jualan pada bulan sebelumnya, pertumbuhan industri berorientasikan eksport menokok 0.2 peratus.
Begitu juga, industri berorientasikan domestik berkembang 6.9 peratus pada Januari 2026, selepas mencatatkan 5.6 peratus pada sebulan lepas.
Prestasi ini terutamanya disokong oleh pertumbuhan dalam pembuatan produk pemprosesan makanan dengan 11.6 peratus pada Januari 2026 (Disember 2025: 9.6 peratus) serta dalam industri pembuatan logam asas (5.9 peratus) dan pembuatan produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (5.9 peratus).
"Di samping itu, industri berorientasikan domestik meningkat 1.0 peratus berasaskan bulan ke bulan," kata Mohd Uzir.
Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata sejumlah 2.4 juta orang pekerja direkodkan dalam sektor ini pada Januari 2026, bertambah sebanyak 1.3 peratus (Disember 2025: 1.1 peratus).
Beliau berkata pertambahan ini dipacu terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.0 peratus); peralatan elektrik dan elektronik (1.8 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.3 peratus).
"Sementara itu, bilangan pekerja dalam sektor ini merekodkan 0.1 peratus kenaikan bulan ke bulan," katanya.
Seiring dengan itu, kata Mohd Uzir, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga mencatatkan pengembangan 2.8 peratus (Disember 2025: 2.5 peratus), berjumlah RM8.71 bilion pada Januari 2026.
"Pada masa yang sama, gaji dan upah yang dibayar menyusut 4.4 peratus berbanding RM9.11 bilion yang direkodkan pada bulan sebelumnya.
"Selanjutnya, nilai jualan bagi setiap pekerja mencatatkan RM69,779 (5.7 peratus) manakala purata gaji dan upah bagi setiap pekerja adalah RM3,590, meningkat 1.4 peratus tahun ke tahun," kata Mohd Uzir.
-- BERNAMA