BERITA TERKINI   Malaysia Airlines lanjutkan penggantungan sementara perkhidmatan ke Doha sehingga 20 Mac 2026 | Cadangan Bekerja Dari Rumah sektor awam diteliti, mungkin dibincang dalam Kabinet esok - Fahmi | Unit MN Holdings raih kontrak projek pencawang pusat data bernilai RM216 juta di selatan Semenanjung Malaysia | 

Kenaikan Harga Minyak Mentah Akan Hasilkan Kesan Bercampur-campur - Petronas

Oleh Nor Baizura Basri

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkata harga minyak mentah yang meningkat disebabkan konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran dijangka menghasilkan beberapa kesan yang bercampur-campur untuk syarikat itu.

Ia berkata walaupun harga yang lebih tinggi dijangka meningkatkan hasil di peringkat pengeluaran, keuntungan itu hampir pasti akan diimbangi oleh peningkatan kos di seluruh rantaian nilai, sekali gus mengakibatkan tekanan yang lebih meluas terhadap ekonomi negara.

“Harga minyak mentah yang lebih tinggi mungkin meningkatkan hasil daripada pengeluaran huluan, tetapi Petronas beroperasi merentasi keseluruhan rantaian nilai tenaga.

“Ini bermakna apabila harga meningkat, kos juga turut naik — bagi minyak mentah import, penapisan, logistik, perkapalan dan insurans, semuanya terjejas secara ketara apabila rantaian bekalan global terganggu akibat ketidaktentuan geopolitik,” kata Petronas kepada Bernama di sini, hari ini.

Petronas berkata dalam hal ini, impak kewangan ke atas syarikat itu adalah jauh lebih kompleks daripada pengiraan hasil yang mudah.

“Kedudukan Malaysia pada masa ini menghasilkan satu lagi lapisan kerumitan. Memandangkan negara mengimport sejumlah besar minyak mentah dan produk yang ditapis, kenaikan mendadak harga global akan meningkatkan bil import negara dengan ketara.

“Kos perkapalan dan insurans semasa tempoh konflik turut menambah lagi beban ini. Komitmen subsidi bahan api juga meningkat, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap kewangan negara,” kata Petronas.

Ia juga berkata syarikat itu beroperasi dengan tanggungjawab yang jelas untuk menyokong keselamatan, kebolehpercayaan bekalan dan kemampuan harga tenaga domestik Malaysia.

“Ini membentuk cara syarikat mengurus operasi dan keutamaannya secara berbeza daripada syarikat minyak antarabangsa yang beroperasi semata-mata berasaskan pertimbangan komersial.

“Sama ada impak bersih adalah positif bergantung kepada tempoh gangguan, bagaimana trend harga berkembang dan sejauh mana tekanan kos hiliran. Memandangkan perkembangan yang sedang berlaku di Asia Barat, pemboleh ubah ini masih tidak menentu,” kata Petronas.

Walaupun rakyat Malaysia boleh merasa yakin disebabkan setiap langkah munasabah sedang diambil, harus diakui bahawa tindak balas akan disesuaikan mengikut perubahan keadaan.

Sehubungan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan untuk tidak menyorok minyak atau membeli minyak secara panik, kerana tindakan ini boleh memburukkan lagi keadaan sedia ada.

Petronas juga menegaskan pengeluaran minyak mentah domestik Malaysia turut menurun secara berterusan berikutan medan-medan minyak sedia ada semakin matang dan pengeluaran berkurangan secara semula jadi.

Negara ini pernah menghasilkan lebih 700,000 tong sehari pada tahun 1990-an dan awal 2000-an. Bagaimanapun, hari ini pengeluaran minyak mentah domestik dihasilkan secara purata sekitar 350,000 tong sehari.

Bagaimanapun, sistem penapisan Petronas memerlukan kira-kira 600,000 tong minyak mentah sehari untuk memenuhi keperluan bahan api negara — mewujudkan jurang struktur yang perlu ditampung melalui import.

"Inilah sebabnya adalah tepat untuk menggambarkan Malaysia sebagai pengeksport tenaga bersih secara keseluruhan — melalui eksport gas asli cecair (LNG) dan produk petroleum lain — sementara pada masa yang sama menjadi pengimport bersih minyak mentah untuk tujuan penapisan domestik.

“Kedua-dua elemen itu adalah benar dan memahami dualiti ini adalah penting untuk faham tentang kedudukan tenaga Malaysia dalam persekitaran semasa,” kata syarikat minyak nasional itu.

-- BERNAMA