Ekonomi Malaysia Dijangka Terus Kukuh Pada 2026 -- Amir Hamzah
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Bernama) -- Prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang memberangsangkan pada 2025 dijangka terus menjadi pemangkin kepada momentum pertumbuhan tahun ini meskipun negara berdepan dengan ketidaktentuan global serta cabaran geopolitik.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pertumbuhan ekonomi pada 2025 yang melebihi sasaran kerajaan juga menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh, sekali gus memberi sokongan kepada prospek pertumbuhan pada 2026.
“Alhamdulillah….tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus manakala bagi keseluruhan tahun itu 5.2 peratus, dipacu oleh pembaharuan ekonomi sedia ada, pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara.
“Kita berpendapat isu-isu ini akan terus mempengaruhi (prestasi ekonomi) tahun ini. (Namun) Insya-Allah, kita telah pun bermula dengan keadaan lebih stabil dan lebih kuat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca mesyuarat khas Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, hari ini.
Meyuarat berkenaan diadakan bagi meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.
Menjelaskan selanjutnya, Amir Hamzah berkata kerajaan sebelum ini mengekalkan sasaran pertumbuhan ekonomi sekitar 4.0 peratus hingga 4.5 peratus dengan mengambil kira pelbagai risiko luaran, termasuk perkembangan geopolitik global.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan akan terus mengambil langkah dengan memanfaatkan peluang sedia ada bagi mengukuhkan asas ekonomi negara untuk jangka panjang.
“Kita perlu terus meningkatkan pelaburan domestik supaya aktiviti ekonomi dalam negara terus rancak dan dapat mengekalkan kestabilan pertumbuhan.
“Seperti (langkah) peningkatan kita dalam Belanjawan 2026 dengan meningkatkan lagi projek-projek kecil yang membantu peniaga dalam Malaysia agar perniagaan mereka stabil,” katanya.
Pada masa sama, kerajaan akan meneruskan pembaharuan ekonomi bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia.
Amir Hamzah juga optimis usaha berkenaan dapat memacu Malaysia mencapai kemajuan di masa depan.
“Apabila wujud kestabilan, Malaysia berpeluang menonjolkan keunikan dan kekuatan sebagai sebuah negara ke arah kemajuan lebih baik. Dari sudut pelaburan asing, Malaysia juga dilihat sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan ada potensi besar untuk berkembang.
“Walaupun geopolitik dunia berdepan pelbagai cabaran, keadaan ini memberi ruang kepada Malaysia untuk terus berkembang,” katanya.
-- BERNAMA