Bantuan Fiskal, Ringgit Lebih Kukuh Kurangkan Tekanan Ekonomi Susulan Konflik Asia Barat

KUALA LUMPUR, 3 April (Bernama) -- Tekanan ekonomi susulan konflik Asia Barat dijangka dapat dikurangkan melalui sokongan fiskal, antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA), ringgit yang lebih kukuh, serta ketahanan perbelanjaan dalam sektor makanan dan minuman, kata Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB).

Dalam satu nota penyelidikan, bank pelaburan itu berkata perbelanjaan keperluan menjadi keutamaan, dan percaya penggunaan domestik dalam jangka terdekat masih cenderung kepada barangan asas, sekali gus menandakan perbelanjaan pilihan akan berkurangan sekiranya tekanan kos meningkat.

“Ini sejajar dengan pandangan dalaman kami bahawa inflasi mungkin meningkat berikutan konflik Asia Barat, dengan unjuran inflasi bagi 2026 disemak naik kepada 2.1 peratus daripada 1.9 peratus sebelum ini.

“Meskipun subsidi tenaga dan ringgit yang lebih kukuh dijangka terus menstabilkan harga, potensi gangguan dalam rantaian bekalan minyak dan baja boleh meningkatkan kos makanan dan pengangkutan, sekali gus melemahkan kuasa beli isi rumah,” kata Kenanga IB.

Dari perspektif portfolio, bank pelaburan itu berkata prestasi saham-saham wajaran tinggi secara keseluruhannya kekal stabil.

Bagaimanapun, bank pelaburan itu bersikap positif secara terpilih terhadap beberapa saham yang menunjukkan ketahanan keuntungan lebih baik, bersifat defensif, tertumpu kepada keperluan asas, mempunyai asas kewangan yang kukuh dan dilihat bernilai dari segi pelaburan.

Oleh itu, penggunaan domestik kekal teguh, tetapi perbelanjaan masih berhati-hati dan selektif, dengan pengguna mengutamakan pembelian barangan keperluan dan menjimatkan wang.

Trend ini jelas dalam prestasi subsektor sepanjang tahun,apabila kedai serbaneka dan pasar mini mencatat prestasi lebih baik (+13 peratus), manakala segmen lebih pilihan seperti perabot, pembaikan rumah, dan barangan elektrik menyusut (-10 peratus), menandakan perbelanjaan bukan keperluan masih ditangguhkan.

-- BERNAMA