Krisis Asia Barat Dorong Kerajaan Nilai Semula Subsidi Agar Lebih Bersasar - Pakar Ekonomi
BANGI, 7 April (Bernama) -- Kesan semasa daripada krisis Asia Barat telah mendorong kerajaan menilai semula pendekatan Program Budi MADANI RON95 (BUDI95) sedia ada bagi memastikannya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan, kata pakar ekonomi.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA-UKM) Profesor Tan Sri Noor Azlan Ghazali berkata semakan semula terhadap pendekatan sedia ada turut membuka ruang untuk memperkemas kaedah pemberian subsidi agar lebih bersasar dan berkesan.
Beliau berkata walaupun subsidi membantu mengurangkan kos hidup rakyat, peningkatan perbelanjaan subsidi boleh memberi tekanan kepada kewangan kerajaan.
Sehubungan itu, katanya isu peningkatan subsidi di bawah BUDI95 wajar diberikan perhatian kerana boleh memberi kesan kepada kedudukan kewangan negara serta perancangan pembangunan jangka panjang.
Menurutnya keseimbangan antara membantu rakyat dan memastikan kestabilan ekonomi perlu dipertimbangkan secara teliti.
“Oleh itu, penting untuk rakyat faham bagaimana kerajaan menyeimbangkan keperluan jangka pendek dan pembangunan jangka panjang,” katanya pada forum Krisis Asia Barat: Implikasi Ekonomi, Apa Langkah Malaysia? di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya perbelanjaan subsidi yang dianggarkan mencecah sekitar RM4 bilion sebulan atau RM48 bilion setahun bukanlah jumlah kecil.
Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya kerajaan memperkukuh kerangka penentuan subsidi termasuk kekerapan semakan kepada mereka yang layak.
Beliau berkata pangkalan data sedia ada seperti Pangkalan Data Utama (PADU), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI95 boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menambah baik penyasaran subsidi sekali gus memastikan bantuan sampai kepada kumpulan rentan.
Harga petrol RON95 di Malaysia ketika ini dikekalkan pada RM1.99 seliter sebagai sebahagian daripada pendekatan kerajaan untuk melindungi rakyat daripada tekanan kos sara hidup, khususnya dalam persekitaran global yang tidak menentu.
-- BERNAMA