Malaysia, Australia Perkukuh Peranan Wanita Dalam Kerjasama Bioteknologi
PUTRAJAYA, 8 April (Bernama) -- Malaysia dan Australia komited memperkukuh kepimpinan dan penglibatan wanita dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) khususnya bioteknologi, sekali gus membangunkan ekosistem inovasi negara yang lebih inklusif serta berdaya saing.
Perbadanan Pembangunan Bioekonomi Malaysia (Bioeconomy Corporation) dalam kenyataan hari ini memaklumkan komitmen itu dinyatakan pada majlis makan tengah hari Wanita dalam Bioteknologi Malaysia–Australia anjuran bersama Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO), Australia dan Bioeconomy Corporation di sini semalam.
“Malaysia dan Australia komited untuk terus memperkukuh kerjasama khususnya dalam bidang bioteknologi dengan menggalakkan lebih banyak inovasi yang diterajui wanita untuk berkembang ke peringkat global dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia Danielle Heinecke dalam kenyataan sama berkata Australia berbangga dapat bekerjasama dengan Malaysia dalam bidang kesihatan.
Melalui platform kerjasama serantau utama iaitu ‘Partnerships for a Healthy Region’, Australia telah melaburkan lebih AU$8.7 juta bagi menyokong institusi Australia seperti CSIRO untuk bekerjasama dengan rakan kongsi di Malaysia.
“Kerjasama itu dalam membangunkan keupayaan pembuatan vaksin dan pengkomersialan, serta memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan penting.
“Kebanyakan cabaran kompleks dunia tidak dapat diselesaikan tanpa kerjasama ini dan memerlukan penglibatan semua pihak, termasuk wanita dan kanak-kanak perempuan, serta peranan mereka dalam ekosistem bioteknologi.
“Wanita kini merupakan tonggak utama dalam komuniti saintifik negara, dengan hampir 50 peratus penyelidik di Malaysia terdiri daripada wanita iaitu melebihi purata Asia Pasifik sebanyak 23.9 peratus,” katanya.
Setiausaha Bahagian (Bahagian Teknologi Strategik dan Aplikasi S&T), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Aidawati Misdar berkata pelbagai inisiatif turut ditekankan bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam tenaga kerja STI.
Ini termasuk usaha peningkatan kemahiran dan latihan semula, platform bimbingan serta pelaksanaan kaedah kerja yang lebih fleksibel.
“Usaha ini selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021–2030 serta Dasar Bioteknologi Negara 2.0,” katanya.
Beliau berkata Program ‘ON Accelerate’ oleh CSIRO dan ‘Bio-based Accelerator’ (BBA) oleh Bioeconomy Corporation turut diketengahkan sebagai platform penting dalam menyokong pengkomersialan penyelidikan serta pertumbuhan perusahaan bioteknologi.
“Sehingga kini, sebanyak 47 syarikat yang diterajui wanita di bawah program BBA telah menerima sokongan fasilitasi, seterusnya menyumbang kepada perkembangan ekosistem bioinovasi negara,” katanya.
-- BERNAMA