BERITA TERKINI   Kerajaan tumpu penyesuaian dasar, urus tekanan kos, jamin bekalan dan keperluan asas dalam menangani krisis bekalan global - Akmal Nasrullah | Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9490/9530 berbanding dolar AS daripada 3.9515/9555 pada Isnin | Malaysia kini pada fasa pengurusan tekanan yang berpanjangan, bukan lagi fasa pengurusan kejutan awal - Akmal Nasrullah | 70 peratus depoh pengadunan di Malaysia sedia melaksanakan biodiesel B15 menggunakan fasiliti sedia ada - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global beri kesan kepada kos tenaga, logistik, bahan mentah, makanan, perkhidmatan dan akhirnya kehidupan harian rakyat - Akmal Nasrullah | 

Berhemah Guna Bahan Api, Bantu Lanjutkan Tempoh Penampan Tenaga -- Liew

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kalangan rakyat Malaysia digesa berhemah menggunakan bahan api dalam usaha melanjutkan lagi tempoh tenaga melangkaui Jun ini berikutan ketidaktentuan global yang dijangka berpanjangan.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata walaupun Malaysia secara relatifnya dalam keadaan agak selesa sekarang, namun sebarang langkah penjimatan seawal mungkin adalah wajar untuk memastikan kestabilan bekalan dalam bulan-bulan seterusnya.

“Bekalan kita selesa sekurang-kurangnya sehingga Jun. Bagaimanapun, jika boleh, perlulah berhemah dalam memastikan bekalan ini dapat bertahan sehingga sekurang-kurangnya pada Julai atau Ogos,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Tinjauan Ekonomi Serantau : ASEAN Di Persimpangan Suruhanjaya Sekuriti-ASEAN+3 Macroeconomic Research Office (AMRO) di sini, hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Liew turut menegaskan keadaan ekonomi yang berubah memerlukan Malaysia bukan setakat menguruskan sumber jangka singkat tetapi juga bertindak mengukuhkan asas-asas ekonomi, terutama dalam menangani ketidaktentuan dalam rantaian bekalan.

Sehubungan itu, wujud keperluan untuk mengenal pasti jurang dalam sektor kritikal dan diatasi dengan pendekatan lebih inovatif serta selaras untuk meningkatkan lagi daya tahan.

Pada masa sama, Liew berkata perubahan landskap global ke arah dunia yang lebih multipolar atau pelbagai, turut menuntut kepentingan kerjasama serantau, khususnya melalui ASEAN, bagi memperkukuh pengaruh secara kolektif.

“Malaysia bukanlah sebuah negara besar. Oleh itu, penting bagi kita untuk beroperasi dalam ASEAN agar dapat melontarkan suara yang lebih kuat dan bersama,” katanya.

Liew juga mengingatkan cabaran semasa ini perlu dijadikan peluang untuk membina daya tahan ekonomi lebih kukuh, termasuk menerusi usaha peralihan tenaga serta penyepaduan lebih mendalam.

Meneliti pengalaman Malaysia, beliau turut menyifatkan penubuhan Petronas sebagai contoh utama kejayaan negara dalam mengharungi krisis pada masa lepas.  

Syarikat minyak dan gas negara itu, katanya, telah ditubuhkan pada 1974 sebagai tindak balas terhadap krisis minyak global, satu langkah yang terbukti mengukuhkan kedudukan tenaga Malaysia selain memberi sumbangan besar terhadap kemajuan ekonomi.

“Pada hari ini, kita berada dalam kedudukan lebih selesa dari segi minyak dan ini bukanlah sesuatu yang harus ambil mudah,” katanya.

Tindakan strategik dalam tempoh itu juga terbukti memberi banyak manfaat kepada negara.

Pengalaman sedemikian, kata Liew, menunjukkan bahawa krisis dapat diubah kepada manfaat jangka panjang menerusi tindak balas dasar yang strategik serta tepat pada masanya.

-- BERNAMA