MTEN Setuju Langkah Mitigasi Pastikan Rantaian Bekalan, Kelangsungan Industri Domestik Terpelihara
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) hari ini bersetuju dengan tiga cadangan utama meliputi fasilitasi logistik, sokongan mitigasi risiko dan peluasan pasaran bagi memastikan rantaian bekalan serta kelangsungan industri domestik tidak terjejas teruk susulan krisis bekalan global.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata langkah tersebut merupakan antara cadangan strategik yang dikemukakan oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis MTEN bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Beliau berkata kerajaan turut meneliti bekalan tempatan yang tersedia untuk digunakan oleh industri terjejas, selain memperkukuh rundingan dua hala berasaskan keperluan strategik negara dan prinsip perdagangan yang saling melengkapi.
“Bagi sektor pembuatan, terdapat aduan mengenai kekurangan bahan input utama yang boleh menjejaskan rantaian nilai. Antara cabaran dikenal pasti ialah kesukaran mendapatkan bekalan alternatif dalam tempoh singkat serta risiko sekatan atau kekangan daripada negara pengeksport,” katanya pada taklimat harian berkaitan krisis bekalan global.
Akmal Nasrullah berkata kerjasama dengan Australia memberi tumpuan kepada kesinambungan bekalan input tenaga dan pertanian, termasuk keperluan Malaysia terhadap fosfat untuk pengeluaran baja serta keperluan Australia terhadap urea dari Malaysia, di samping komitmen mengekalkan kestabilan bekalan tenaga.
Sementara itu, kerjasama dengan China memberi fokus kepada usaha meningkatkan bekalan resin dan nafta bagi menyokong pengeluaran peranti perubatan kritikal dalam negara.
Beliau berkata pendekatan tersebut bertujuan menjamin sumber bekalan, mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan global serta memperkukuh keselamatan makanan, tenaga dan kesihatan negara.
“Kerangka tindakan kerajaan kini memberi tumpuan kepada tiga keutamaan utama, iaitu menjamin bekalan, memperluas akses bekalan dan mengekang kenaikan harga.
“Ini penting kerana krisis yang dihadapi bukan sekadar isu harga, tetapi juga keperluan memastikan negara mempunyai bekalan mencukupi, ruang penyesuaian serta keupayaan melindungi rakyat daripada gangguan bekalan keperluan asas,” katanya.
-- BERNAMA