Institusi Perbankan Perlu Jadi Rakan Strategik Bagi Kelangsungan Ekonomi Domestik -- PM Anwar
KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Institusi perbankan harus memikul tanggungjawab sebagai rakan strategik dalam usaha memastikan kelangsungan ekonomi domestik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika menegaskan perkara itu, beliau berkata walaupun asas ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kelewatan dalam menangani tekanan dihadapi sektor kritikal, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menjadi tunjang ekonomi negara.
Terdahulu, Anwar, yang juga Menteri Kewangan, telah mengumumkan kemudahan khas berjumlah RM5 bilion untuk disalurkan melalui sektor perbankan kepada PMKS yang terkesan.
Kemudahan itu melengkapi jaminan RM5 bilion di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) yang diumumkan sebelum ini dan menjadikan keseluruhan sokongan kewangan untuk PMKS kini mencecah RM10 bilion.
“Saya turut menegaskan bahawa akses kepada kemudahan ini mesti diperluaskan secara adil dan menyeluruh, termasuk kepada PMKS baharu yang benar-benar memerlukan. Institusi perbankan tidak boleh mengambil pendekatan sempit sebaliknya mesti memikul tanggungjawab sebagai rakan strategik dalam memastikan kelangsungan ekonomi domestik.
“Kerajaan MADANI akan terus bertindak dengan ketegasan, disiplin dan keutamaan yang jelas untuk melindungi perniagaan tempatan, menjamin pekerjaan rakyat dan memastikan ekonomi negara kekal stabil serta berdaya tahan,” kata Anwar menerusi hantaran di platform X hari ini.
Perdana Menteri pada hari ini telah mengadakan sesi libat urus bersama ketua-ketua pegawai eksekutif institusi perbankan bagi menyelaras tindakan lebih tegas dan tersusun untuk membantu PMKS yang sedang berdepan tekanan ketara susulan krisis tenaga global serta konflik Asia Barat yang terus menjejaskan rantaian bekalan dunia.
-- BERNAMA