JS-SEZ: PMKS Johor Perlu Rebut Peluang Tembusi Rantaian Bekalan Global

JOHOR BAHRU, 12 Mei (Bernama) -- Usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di Johor digesa memanfaatkan pembangunan dan merebut peluang menerusi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai platform utama untuk menembusi rantaian bekalan global.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Negeri Johor Yazid Khalid berkata kehadiran syarikat gergasi teknologi seperti NVIDIA dan Microsoft di negeri ini secara tidak langsung membawa ekosistem pasaran antarabangsa terus ke pintu rumah usahawan tempatan.

“Kalau kita lihat 10 hingga 15 tahun dahulu, kita sering bercakap tentang bagaimana usahawan nak menembusi pasaran global. Namun kini, di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, pasaran global itu sendiri dibawa masuk ke Johor melalui inisiatif JS-SEZ.

“Ini menjadikan Johor destinasi pelaburan serantau yang kukuh,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio bagi segmen Johor Tersohor hari ini.

Yazid menambah peluang kini lebih terbuka dan mudah kerana kos usahawan tempatan untuk menembusi pasaran global dapat diminimumkan.

Katanya, usahawan di negeri ini kini boleh bekerjasama dengan syarikat multinasional dan menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global.

Menurut Yazid, bagi mendepani limpahan ekonomi berkenaan, pendigitalan kini bukan lagi satu pilihan sebaliknya prasyarat wajib untuk usahawan kekal relevan dan kompetitif.

Beliau menggariskan tiga tahap ketersediaan digital yang perlu dikuasai iaitu kesedaran penggunaan platform asas, automasi proses perniagaan dan perluasan akses pasaran menerusi e-dagang.

“Tahap kesedaran menyaksikan usahawan mikro mula memanfaatkan media sosial dan e-dompet manakala kelompok PKS perlu beralih kepada automasi seperti perakaunan awan dan sistem pengurusan stok bagi memastikan operasi mereka lebih cekap.

“Namun, cabaran utama masih tertumpu kepada kos pelaksanaan teknologi dan keperluan kemahiran teknikal yang perlu sentiasa dikemas kini melalui latihan berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, Yazid berkata DPMM Johor komited bertindak sebagai pemudah cara melalui inisiatif jaringan perniagaan, advokasi dasar serta latihan kapasiti bagi membantu usahawan menembusi pasaran lebih besar.

Tumpuan utama DPMM pada ketika ini, katanya, memastikan usahawan di Johor tidak sekadar menjadi pemerhati sebaliknya menjadi pemain utama dalam ekosistem JS-SEZ.

“Harapan kami adalah untuk melihat usahawan Johor bukan sekadar bertahan, tetapi mampu bersaing di peringkat antarabangsa selaras dengan aspirasi 'Maju Johor 2030',” katanya.

-- BERNAMA