Malaysia, China Kongsi Peluang Besar Dalam Kerjasama Minyak Sawit Lebih Kukuh - Noraini
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Malaysia dan China berkongsi peluang besar dalam memperkukuh kerjasama industri nilai tambah berasaskan minyak sawit, khususnya ketika permintaan terus meningkat terhadap produk berasaskan sawit mampan, dipacu prestasi dan penggunaan khusus.
Dalam kenyataan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) pada Isnin, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata minyak sawit kini semakin berperanan penting, merentas pelbagai sektor pertumbuhan tinggi.
Beliau berkata sektor itu termasuk pembuatan makanan, oleokimia, bahan ramuan khusus, penjagaan diri, penjagaan rumah serta bagi penggunaan industri yang pesat berkembang.
“Minyak sawit kini tidak lagi dilihat semata-mata sebagai komoditi eksport, malah juga semakin dianggap sebagai pemboleh industri strategik yang menyokong inovasi, pembuatan mampan dan pertumbuhan ekonomi bernilai tinggi.
“Malaysia melihat potensi besar untuk terus memperkukuh kerjasama dengan China melalui pembangunan hiliran, pertukaran teknologi dan pengembangan industri nilai tambah berasaskan sawit,” katanya.
MPOC menjelaskan Noraini berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Minyak Sawit Malaysia (MPOF) China 2026, anjuran pihaknya di Shanghai baru-baru ini.
Forum itu mengetengahkan peranan minyak sawit Malaysia yang semakin berkembang sebagai input industri bernilai tinggi dan mampan, yang menyokong inovasi, pembangunan hiliran dan kerjasama ekonomi jangka masa panjang antara kedua-dua negara.
Beliau berkata kerjasama lebih kukuh antara Malaysia dan China dalam sektor minyak sawit bukan sahaja akan meningkatkan prestasi perdagangan dua hala, malah turut menyokong inovasi industri, rantaian bekalan yang berdaya tahan serta pembangunan mampan jangka masa panjang bagi kedua-dua negara, menurut MPOC.
Noraini turut mengesahkan semula komitmen Malaysia terhadap amalan pengeluaran mampan menerusi skim pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diwajibkan dan telah dilaksanakan sepenuhnya di seluruh rantaian bekalan minyak sawit negara sejak 2020.
Beliau berkata kemampanan, kebolehkesanan dan pengeluaran bertanggungjawab kekal menjadi tonggak penting dalam memperkukuh keyakinan global terhadap minyak sawit Malaysia, khususnya dalam menepati harapan pasaran antarabangsa yang semakin berkembang, tambah majlis itu.
China kekal sebagai antara pasaran minyak sawit paling penting bagi Malaysia serta penyumbang utama kepada pertumbuhan industri pada masa hadapan, menurut MPOC.
“Pada 2025, Malaysia mengeksport kira-kira 2.64 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit ke China, dengan hasil eksport bernilai sekitar RM10.9 bilion,” jelas MPOC.
Menurut MPOC, MPOF China 2026 dianjurkan berasaskan kerjasama strategik MPOC yang lebih meluas di China.
“Pada November 2025, MPOC menyambut 37 pembeli utama dari China di Malaysia untuk memperkukuh keyakinan industri melalui pendedahan secara langsung kepada peladangan, kilang penapisan, kemudahan pembuatan hiliran dan ekosistem kemampanan Malaysia.
“Melalui platform strategik seperti MPOF, Malaysia kekal komited untuk mengeratkan kerjasama komersial, memperluas peluang pasaran dan mempertingkatkan peranan minyak sawit Malaysia sebagai penyelesaian mampan dan bernilai tinggi yang menyokong fasa pertumbuhan industri dan kerjasama ekonomi Malaysia-China seterusnya,” menurut MPOC.
-- BERNAMA