Mahsuri Food Lancar Kemudahan Pengeluaran Canggih Di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Pengeluar sos dan perencah halal tempatan, Mahsuri Food Sdn Bhd melancarkan kemudahan pengeluaran canggih di Seremban, Negeri Sembilan, yang turut mencerminkan usaha syarikat mengembangkan kapasiti dan kecekapan pengeluaran.

Kemudahan berkeluasan 45,000 meter persegi itu dibangunkan sebagai sebuah hab pengeluaran moden bagi menghasilkan sos jenama Mahsuri, termasuk kicap dan sos tiram yang menyokong pertumbuhan jenama di peringkat domestik dan serantau.

“Kilang yang dilengkapi dengan barisan pengeluaran moden serta kapasiti pengeluaran maju, juga bersandarkan proses pembuatan automatik sepenuhnya dan kualiti produk yang konsisten daripada peringkat persediaan kepada pembotolan dan pembungkusan di bawah kawalan kualiti yang ketat,” menurut syarikat itu dalam kenyataan bersama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Pihak MIDA telah berkongsi panduan berharga, kemudahan pelesenan dan penyelarasan menerusi pembangunan kemudahan itu yang turut mendapat sokongan kerajaan Negeri Sembilan menerusi agensinya, Invest Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata projek pengembangan Mahsuri itu juga sejajar dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 bagi memperkukuh industri tempatan, mempercepat pelaburan domestik selain memacu daya saing perindustrian Malaysia.

Menerusi usaha memacu kompleksiti ekonomi, beliau berkata rangka kerja itu menggalakkan industri tempatan berinovasi menerusi penyelidikan dan pembangunan, melaksanakan teknologi automasi Industri 4.0 untuk berubah kepada pengeluaran dengan nilai tinggi.

“Kemudahan pengeluaran model itu mencerminkan (aspirasi)  #InvestLokal - mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, membangunkan keupayaan tempatan yang sofistikated serta memacu permintaan global bagi produk makanan halal Malaysia berkelas dunia,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kemudahan pengeluaran yang mendapat pensijilan halal itu, turut menjadi asas bagi pengembangan Mahsuri di masa depan selain dapat memperkukuh keupayaan Malaysia dari segi mengeksport produk sos halal premium ke pasaran antarabangsa yang penting, termasuk Asia Tenggara, Timur Tengah dan India.

-- BERNAMA