Bermula Dari Rumah, Saffiya Bakery Kini Tembusi Pasaran Jepun, Jordan

Oleh Kamarul Halim M Kamal

BATU PAHAT, 24 Mei  (Bernama) – Perniagaannya bermula kecil-kecilan dari rumah di Taman Penggaram dekat sini dengan modal RM500 bagi menghasilkan 20 bungkus roti ‘Golok’ atau roti disapu mentega dan ditabur gula selain 10 balang biskut pelangi pada setiap hujung minggu.

Namun kini, usahawan Farah Hanim Ngah mampu tersenyum bangga apabila produk Saffiya Bakery miliknya  berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk Jepun dan Jordan, sekali gus membuktikan produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mampu berkembang lebih jauh jika mendapat sokongan dan peluang pasaran lebih luas.

Usahawan berusia 41 tahun itu  berkata perniagaan yang bermula sekitar 2012 itu pada awalnya diusahakan secara sambilan kerana masih bekerja sebagai jurukur bahan dan bertindak melepaskan kerjaya profesional demi menumpukan perniagaan itu sepenuh masa.

“Pada awalnya saya cuma buat roti dan biskut pelangi secara kecil-kecilan untuk kawan-kawan dan pelanggan sekitar Batu Pahat, Johor, sahaja.

“Tetapi bila tempahan makin banyak dan tidak menang tangan, saya putuskan untuk fokus sepenuhnya kepada perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Kompleks Niaga Benteng Peserai di sini baru-baru ini. 

Farah Hanim berkata kapasiti pengeluaran Saffiya Bakery kini meningkat lebih 10 kali berbanding peringkat awal apabila menghasilkan lebih 250 bungkus roti dan biskut setiap hari bagi memenuhi permintaan pelanggan.

Lebih membanggakan, selain mendapat sambutan di pasaran tempatan termasuk Lembah Klang dan utara Semenanjung, produk biskut pelangi keluarannya turut menerima tempahan secara dalam talian daripada pelanggan di Hokkaido, Jepun serta di Amman, Jordan.

Beliau berkata hasil penat lelahnya itu turut mendapat sokongan agensi kerajaan, termasuk bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian Daerah Batu Pahat, Jabatan Pertanian Negeri Johor dan Perbadanan Usahawan Johor (PUJB).

Bantuan seperti mesin pengadun, mesin penaik roti dan mesin penggoreng membantu meningkatkan kapasiti pengeluaran sekali gus memperkukuh daya saing perniagaan.

Antara cabaran terbesar baginya adalah ketika pandemik COVID-19 apabila permintaan merosot sehingga hampir menyebabkan operasi perniagaan terpaksa dihentikan.

Bagaimanapun, inovasi menghasilkan roti kering pelbagai perisa secara tidak langsung membantu menyelamatkan perniagaan selain membuka segmen pasaran baharu.

“Kini roti kering dengan perisa seperti coklat, majerin gula, peanut dan cheese gula menjadi antara produk paling mendapat sambutan selain roti gula dan roti ‘Golok’ itu,” katanya.

Farah Hanim berkata perkembangan perniagaan itu turut membolehkan beliau mengembangkan operasi dengan membuka dua premis perniagaan iaitu di Kompleks Niaga Benteng Peserai dan Bangunan Arked MARA Batu Pahat dengan bantuan sebanyak tujuh pekerja.

Kini, beliau berhasrat membuka sebuah kafe berkonsepkan roti mampu milik sebagai langkah memperluas lagi perniagaan serta menambah peluang pekerjaan di kawasan setempat.

Selain jualan terus kepada pelanggan, beliau turut menerima tempahan untuk majlis hari jadi, jamuan sekolah, cenderahati perkahwinan serta tempahan bermusim sempena Ramadan dan Syawal.

Pada masa sama, beliau turut aktif membantu komuniti setempat dengan membekalkan produk makanan kepada madrasah dan asrama anak yatim sekitar Batu Pahat.

-- BERNAMA