BERITA TERKINI   Pengeluaran Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) versi baharu yang dijadual 1 Jun ditangguh -- KP Imigresen | 

Bank Di Malaysia, Ekonomi APAC Kurang Terkesan Oleh Kenaikan Harga Tenaga - Moody’s

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Bank-bank di Malaysia dan beberapa ekonomi Asia Pasifik (APAC) dijangka kurang terjejas oleh kenaikan harga tenaga, menurut Moody's Ratings.

Agensi penarafan kredit itu berkata keadaan tersebut disokong oleh kepelbagaian dan daya tahan ekonomi, rizab minyak yang besar, campuran sumber tenaga yang pelbagai serta kedudukan kewangan kerajaan yang kukuh.

Dalam laporan yang dikeluarkan hari ini, Moody’s Ratings berkata Malaysia yang diberi penarafan A3 stabil merupakan pengeksport bersih minyak dan gas, justeru ekonomi dan sektor perbankannya dijangka mendapat manfaat daripada kejutan positif terma perdagangan serta peningkatan pendapatan korporat dalam sektor tenaga.

“Beberapa negara terus melaksanakan atau memperkenalkan langkah bagi mengurangkan kesan kos tenaga yang tinggi terhadap peminjam dan ekonomi. Subsidi bahan api atau kawalan harga seperti di India, Thailand, Vietnam, Indonesia dan Malaysia membantu mengehadkan pemindahan kenaikan harga minyak kepada pengguna dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan mengekalkan keupayaan pembayaran balik peminjam dalam tempoh terdekat, keadaan ini dapat mengurangkan pembentukan pinjaman tidak berbayar (NPL) di bank,” katanya.

Moody’s Ratings berkata pihak berkuasa monetari juga bersedia menyediakan sokongan kecairan bersasar kepada bank sekiranya diperlukan.

Katanya harga tenaga yang kekal tinggi susulan konflik berpanjangan di Asia Barat akan memberi kesan kepada profil kredit bank-bank APAC menerusi portfolio pinjaman dan saluran kewangan.

Kos tenaga yang lebih tinggi turut meningkatkan risiko kepada bank menerusi pengguna, pusat beli-belah dan PKS kerana ia menjejaskan kuasa beli isi rumah serta aliran tunai PKS, sekali gus meningkatkan risiko kualiti aset.

Selain itu, pasaran kewangan, aliran modal dan kiriman wang turut menjadi saluran limpahan risiko apabila banyak ekonomi berdepan tekanan untuk menaikkan kadar faedah bagi membendung inflasi dan kelemahan mata wang.

Ini sekali gus berpotensi meningkatkan kos pembiayaan bank, mengetatkan kecairan serta menjejaskan negara yang bergantung kepada kiriman wang seperti Filipina dan Bangladesh, kata agensi penarafan itu.

-- BERNAMA