BERITA TERKINI   Pelaksanaan inisiatif BDR jimatkan RM4.22 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 2.14 juta liter sejak 15 April lepas - KSN | BeliTiketSelamat inisiatif lindungi rakyat daripada ancaman penipuan tiket acara - Fahmi | 

Keuntungan Bersih Suku Ketiga Sime Darby Melonjak Kepada RM654 Juta

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih Sime Darby Bhd untuk suku ketiga tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026 melonjak kepada RM654.00 juta berbanding RM193.00 juta yang dicatatkan pada suku yang sama tahun lepas.

Prestasi lebih kukuh ini telah dipacu oleh keuntungan sekali sahaja sebanyak RM434 juta daripada pelupusan tanah di Malaysia Vision Valley (MVV), sebuah koridor pembangunan yang merangkumi daerah Seremban dan Port Dickson di Negeri Sembilan, kata kumpulan itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Hasil suku tahunan susut kepada RM15.75 bilion berbanding RM16.31 bilion pada suku ketiga tahun kewangan 2025. Tidak termasuk item sekali sahaja, untung bersih teras untuk suku ketiga tahun kewangan 2026 meningkat 55.6 peratus kepada RM263 juta memandangkan ketiga-tiga bahagian perniagaannya mencatatkan keuntungan yang lebih tinggi. 

 

"Keputusan kami pada suku ini mencerminkan daya tahan berterusan portfolio kami, walaupun semasa kami menavigasi persekitaran operasi yang lebih kompleks.

"Perniagaan teras kami untuk peralatan industri dan automotif telah bertahan dalam berhadapan dengan tekanan pasaran yang berterusan," kata Sime Darby, sambil menambah bahawa ia kekal berdisiplin dalam pengurusan kos, walaupun dalam keadaan tidak menentu. 

Bahagian UMW mencatatkan keuntungan sebelum faedah dan cukai sebanyak RM196 juta, lebih tinggi daripada suku yang sama pada  tahun kewangan sebelum ini, walaupun perniagaan automotif mencatatkan keuntungan yang lebih rendah, perniagaan pelincir pula menyaksikan hasil yang lebih baik berikutan pelarasan inventori dalam tempoh yang sama sebelumnya. 

Bagi sembilan bulan berakhir 31 Mac 2026 (tahun kewangan 2026), keuntungan bersih menokok 10.9 peratus kepada RM1.44 bilion berbanding RM1.29 bilion, dengan penambahan hasil pada RM52.75 bilion daripada RM52.30 bilion.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Jeffri Salim Davidson, syarikat itu turut mengambil kira peranannya dalam ekonomi yang meluas dan tanggungjawabnya sebagai pembawa imej Malaysia di pasaran antarabangsa. 

"Kami komited untuk mengukuhkan ekosistem yang kami beroperasi dalam memajukan agenda Program Pengaktifan dan Reformasi Perusahaan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

"Ini termasuk membangunkan bakat Malaysia, menyokong perniagaan dan pembekal tempatan, termasuk menyumbang kepada pembangunan perusahaan Malaysia yang berdaya saing di peringkat global," katanya. 

Agenda GEAR-uP merupakan inisiatif Kementerian Kewangan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, memperbaharui pasaran buruh dan menyokong pembangunan Bumiputera.

Kumpulan itu ketika bercakap mengenai prospek, khususnya di tengah-tengah persekitaran ekonomi global yang mencabar, ketegangan geopolitik berterusan yang terus menjejaskan rantaian bekalan dan risiko inflasi menyatakan, keadaan perniagaan dijangka kekal lemah.

Sektor permotoran terus menerima kesan daripada kelembapan permintaan pengguna dan persaingan yang semakin sengit. 

Namun begitu, jualan dalam segmen kenderaan mampu milik di Malaysia kekal berdaya tahan, katanya.

Bagi sektor perindustrian, permintaan jangka sederhana hingga panjang daripada industri perlombongan Australia untuk peralatan kumpulan dan perkhidmatan selepas jualan dijangka kekal kukuh.

"Pihak lembaga pengarah menjangkakan prestasi kewangan teras kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, akan seiring dengan tahun kewangan 2025," katanya lagi.

-- BERNAMA