MNRB Sasar Selesai Ambil Alih Labuan Re Menjelang Suku Keempat 2026

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd menjangkakan proses pengambilalihan Labuan Reinsurance (L) Ltd (Labuan Re) dapat diselesaikan menjelang suku keempat 2026.

Kumpulan itu kini dalam proses memperoleh baki 80 peratus kepentingan dalam syarikat berkenaan dengan nilai keseluruhan tunai sebanyak US$100.69 juta (RM400.9 juta), sekali gus memperkukuh strategi pengembangan dalam sektor insurans antarabangsa dan luar pesisir.

Menurut Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rudy Rodzila Che Lamin beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu termasuk kelulusan daripada Bank Negara Malaysia serta pemegang saham sebelum urus niaga tersebut dimuktamadkan.

Beliau berkata pengambilalihan itu merupakan langkah strategik yang melengkapi operasi domestik kumpulan, dengan kedua-dua entiti merupakan syarikat milik tempatan.

“Selepas selesai pengambilalihan, kami merancang untuk mengembangkan operasi ke beberapa pasaran termasuk perniagaan fakultatif, perniagaan khusus dan penyelesaian berstruktur, selain segmen perniagaan sedia ada Malaysian Reinsurance Bhd,” katanya pada taklimat media prestasi kewangan 2026 dan kemas kini korporat.

MNRB Holdings Bhd ketika ini memegang 20 peratus kepentingan tidak langsung dalam Labuan Re menerusi anak syarikat milik penuhnya, Malaysian Re. Selepas selesai pengambilalihan, Labuan Re akan menjadi anak syarikat milik penuh kumpulan itu.

Rudy Rodzila berkata dengan prestasi kewangan Malaysian Re yang kukuh dan proses konsolidasi yang sedang dilaksanakan ketika ini, MNRB menyasarkan untuk menjadi antara pemain terbesar di Asia, dengan kedudukan ketika ini antara terbesar dari segi aset di Asia Tenggara, serta kedudukan lima teratas di Asia pada masa depan.

Kedua-dua entiti akan terus beroperasi secara serentak memandangkan kepakaran dan peranan masing-masing yang saling melengkapi.

Dari segi modal, beliau berkata Labuan Re menawarkan kecairan lebih tinggi dan caj modal lebih rendah selain manfaat struktur cukai sebagai syarikat luar pesisir, sekali gus membolehkan MNRB memperluas operasi ke pasaran global.

Mengenai konflik Asia Barat, Rudy Rodzila berkata kesannya terhadap kumpulan adalah terhad berikutan pendedahan hanya tertumpu kepada perniagaan marin dan kargo.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Sharmini Perampalam berkata impak kepada kumpulan adalah lebih kepada kesan industri dan ekonomi secara keseluruhan berbanding kesan langsung insurans.

Beliau berkata meskipun pendedahan kumpulan terhadap mata wang asing adalah sekitar 50 peratus, MNRB mempunyai dasar lindung nilai bagi mengurus risiko tersebut walaupun tidak dapat dilindungi sepenuhnya.

Konflik tersebut tidak memberi impak secara langsung terhadap perniagaan insurans atau takaful, sebaliknya lebih ketara pada peringkat industri dan ekonomi secara keseluruhan.

Bagaimanapun, sekiranya berlarutan, ia boleh memberi kesan ekonomi yang lebih meluas, dan lazimnya sektor insurans atau takaful merupakan antara yang awal terjejas dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi sedemikian, katanya.

Menyentuh pengukuhan ringgit, Sharmini berkata ia bukan memberi aspek positif sepenuhnya kepada kumpulan, memandangkan kira-kira 50 peratus perniagaan melibatkan pelaburan dalam mata wang asing, walaupun MNRB aktif melindungi (hedge) pendedahan tersebut.

“Kami melindungi pendedahan itu dan mempunyai dasar lindung nilai bagi memastikan ia hampir kepada 100 peratus. Ia tidak boleh menjadi lindung nilai yang sempurna, namun kami berusaha menguruskannya sebaik mungkin,” katanya.

-- BERNAMA