Cyberview Tampil 23 Syarikat Pemula Niaga Berimpak Tinggi Di Pameran Penyelesaian CLLA Kohort 21
KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd menampilkan 23 syarikat pemula niaga berimpak tinggi di Pameran Penyelesaian Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) Kohort 21, sekali gus mengukuhkan peranan program itu dalam mempercepatkan fasa pengesahan kepada fasa pengkomersialan syarikat pemula niaga.
Cyberview memaklumkan syarikat pemula niaga itu membentangkan penyelesaian merangkumi penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pintar, kemampanan, infrastruktur pintar, serta perusahaan dan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan peningkatan permintaan terhadap inovasi berskala yang berfokuskan manusia.
Ia menyatakan acara pameran itu turut menampilkan 10 syarikat pemula niaga terbaik yang disenarai pendek untuk mara ke Hari Demo CLLA Kohort 21 pada 16 Jun, 2026, di mana mereka akan membuat pembentangan idea kepada pelabur dan syarikat korporat bagi mendapatkan potensi pembiayaan dan perkongsian.
Sebanyak 10 syarikat pemula niaga yang mara ke Hari Demo ialah Lorry System Sdn Bhd, SpaceIn, Enygma AI, Truecare2u, Microbiome Sdn Bhd, Evolving Brilliance Technologies, OINC, Eko Kuasa Technology Sdn Bhd, Xylorix dan Dataverse Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Kamarul Ariffin Abdul Samad berkata program CLLA terus melahirkan syarikat pemula niaga yang mampu mengharungi dan menangani cabaran dalam realiti industri.
“Dalam keadaan ketika industri mengharungi ketidaktentuan global, peralihan permintaan pasaran dan keperluan untuk daya tahan yang lebih tinggi, penyelesaian daripada kohort ini berpotensi memberi manfaat kepada perniagaan dan komuniti dalam menangani cabaran sebenar.
"Selain itu, ia turut meningkatkan kecekapan dan menyokong cara pengendalian yang lebih mampan serta bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.
Cyberview menyatakan program itu, yang kini memasuki kohort ke-21, telah membina rekod pencapaian yang kukuh dengan membimbing hampir 152 syarikat pemula niaga yang secara kolektifnya telah meraih pelaburan melebihi RM285 juta dan menjana hasil pendapatan lebih daripada RM891 juta sejak penubuhannya pada 2013.
Ia menyatakan Kohort 21 telah dipadatkan menjadi program empat bulan yang lebih bersasar, dengan penekanan yang lebih kuat terhadap impak yang boleh diukur, kebolehskalaan, kesediaan pasaran, bimbingan, libat urus pelabur, akses ekosistem dan ujian rintis di Cyberjaya.
“Bagi mempercepatkan lagi pelaksanaan di dunia nyata, dua syarikat pemula niaga yang layak akan berpeluang untuk menerima Insentif Projek Rintis Cyberview, tertakluk kepada kriteria yang ditetapkan.
“Inisiatif ini bertujuan mewujudkan lebih banyak peluang projek rintis di Cyberjaya, membolehkan syarikat pemula niaga menguji, mengesahkan dan meluaskan skala penyelesaian mereka dalam ekosistem Cyberjaya Living Lab,” tambahnya.
Menurut Cyberview, impak program ini paling jelas dicerminkan melalui alumninya yang telah beralih daripada fasa inovasi peringkat awal kepada pertumbuhan perniagaan yang boleh diukur.
Sebagai contoh, SmartPeep, alumni CLLA, telah meluaskan jejak langkahnya ke seluruh Malaysia, Singapura dan Jepun, dengan bekerjasama lebih 20 hospital dan kemudahan penjagaan warga emas sejak menamatkan program itu pada 2024.
Sementara itu, ReMo menunjukkan daya tarikan komersial yang kukuh selepas menamatkan program tersebut pada 2025 melalui penyelesaiannya membantu warga emas dan pesakit pemulihan kecederaan meningkatkan kekuatan otot melalui sistem pemantauan aplikasi mudah alih.
Kamarul Ariffin berkata krisis yang sedang berterusan di Asia Barat menjadikan CLLA lebih penting buat Malaysia dalam memperkukuh kedaulatan teknologinya.
“Dengan membangunkan teknologi buatan Malaysia, kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada penyelesaian asing, serta mencipta hala tuju sistem yang lebih berdaya tahan dan berdikari untuk masa hadapan,” tambah beliau.
-- BERNAMA