AM

Kabinet Tidak Bincang Isu Majlis Profesor Negara - Fahmi

08/11/2024 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Kabinet hari ini tidak membincangkan isu berkaitan Majlis Profesor Negara (MPN) selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk mengkaji semula relevansi kewujudannya. 

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil bagaimanapun berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini pernah memberi teguran keras mengenai pengurusan MPN. 

"Belum ada kata muktamad ataupun setidak-tidaknya dalam beberapa mesyuarat kebelakangan ini belum dibangkitkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin menggesa JPM menilai sama ada kewujudan MPN sebagai penggerak kepakaran tenaga akademik dalam membantu kerajaan membangunkan negara, susulan Laporan Audit Negara (LKAN)  Siri 2/2024 yang mendedahkan mengenai penyalahgunaan pembiayaan kewangannya.

Mas Ermieyati berkata sekiranya kerajaan membuat keputusan untuk mengekalkan MPN sebagai Syarikat Bhd Menurut Jaminan (CLBG), badan pemikir itu perlu diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi berdasarkan fungsi dan peranannya. 

LKAN yang dikeluarkan Julai lepas antara lain mendedahkan MPN didapati membiayai operasi dua syarikat persendirian berjumlah RM373,516 selain membayar elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi berjumlah MPN  RM207,000 yang dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

Sementara itu Fahmi memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah meneliti isu urus tadbir syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

"Yang menjadi keutamaan ialah aspek tatakelola. Aspek governans ini yang diberikan keutamaan.

"Setelah kita pinda akta bagi membolehkan Ketua Audit Negara melakukan audit terhadap mana-mana entiti yang menerima dana awam, kita percaya aspek pengurusan dan juga tatakelola GLC dan GLIC akan bertambah baik," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy