AM

Anwar Bertemu Pengurus Tertinggi Dana Kekayaan Berdaulat UAE

13/01/2025 05:17 PM

Daripada Kamarul Ariffin Md Yassin

ABU DHABI, 13 Jan  (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan hari kedua beliau ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan mengadakan pertemuan bersama tiga pengurus tertinggi Dana Kekayaan Berdaulat UAE di sini.

Mesyuarat Perniagaan yang diadakan secara langsung dimulakan dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masdar Mohamed Jameel Al Ramahi, diikuti dengan Pengarah Urusan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi Sheikh Hamed bin Zayed Al Nahyan dan Pengarah Urusan serta CEO Mubadala, Khaldoon Khalifa Al Mubarak.

Selepas mesyuarat tersebut, Anwar akan berlepas ke Dubai, kira-kira 150 kilometer dari sini, untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Presiden dan Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, yang juga Pemerintah Dubai.

Pertemuan itu akan berlangsung di Istana Za’abeel di Dubai.

Perbincangan dijangka memfokuskan kepada pengukuhan hubungan dua hala serta meneroka peluang dalam tenaga boleh diperbaharui, keselamatan makanan dan tenaga, kecerdasan buatan dan pusat data, serta isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama.

Kunjungan Perdana Menteri ini adalah atas jemputan rakan sejawatannya dari UAE Sheikh Mohammed, bagi menghadiri Minggu Kelestarian Abu Dhabi di sini.

Anwar tiba di sini pada Ahad bagi lawatan kerja selama tiga hari ke UAE.

Pada Selasa, Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan bertemu Presiden UAE dan Pemerintah Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan, sebelum menghadiri majlis perasmian Minggu Kelestarian Abu Dhabi (ADSW) 2025.

Kemudian, semasa Sesi Plenari ADSW, Perdana Menteri akan menyertai dialog bertajuk ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’. Ini seiring dengan tema Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025, ‘Keterangkuman dan Kemampanan’.

Anwar juga akan menghadiri majlis Anugerah Zayed Hadiah Kelestarian Zayed dan Forum ‘Youth 4 Sustainability’.

Pemimpin dunia yang dijangka hadir di ADSW termasuk Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev, Presiden Kazakhstan Kassym-Jomart Tokayev, Presiden Kenya William Ruto, Presiden Nigeria Bola Ahmed Tinubu, Presiden Rwanda Paul Kagame, Presiden Seychelles Wavel Ramkalawan, dan Presiden Uganda Yoweri Museveni.

Turut hadir adalah Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev, Perdana Menteri Albania Edi Rama, Perdana Menteri Finland Petteri Orpo, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, dan Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Ini merupakan lawatan kedua Perdana Menteri ke UAE sejak Oktober 2023 dan kunjungan pertama beliau ke luar negara sejak memegang jawatan sebagai pengerusi ASEAN 2025.

Tumpuan utama lawatan ini adalah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (CEPA). Perjanjian ini bertujuan untuk membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan, pelaburan, dan kerjasama ekonomi antara Malaysia dan UAE.

Turut menyertai Perdana Menteri dalam lawatan ini adalah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, serta Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan UAE mencecah RM39.53 bilion (US$8.61 bilion).

UAE adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Timur Tengah, mencatatkan perdagangan sebanyak RM39.63 bilion (US$8.67 bilion) pada tahun 2023. Malaysia berada di kedudukan keempat sebagai rakan dagang terbesar UAE dalam ASEAN dan ke-32 di peringkat global.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy