SUKAN

Pearly-Thinaah Mara Ke Pentas Akhir Master Indonesia 2025

25/01/2025 07:24 PM

JAKARTA, 25 Jan (Bernama) -- Beregu wanita nombor satu negara Pearly Tan dan M. Thinaah, mengesahkan tiket ke slot perlawanan akhir Masters Indonesia 2025 selepas menundukkan gandingan Korea Selatan Lee Yeon Woo dan Lee Yu Lim, dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Istora Senayan, hari ini.

Beregu pilihan kedua itu mengambil masa 52 minit untuk menyingkirkan pasangan dari Korea Selatan itu, yang kini menduduki ranking ke-146 dunia, 21-19, 21-16.

“Agak puas hati, tetapi masih ada yang perlu diperbaiki,” kata Thinaah selepas tamat perlawanan sambil menambah bahawa, sokongan peminat tempatan turut menyuntik semangat sepanjang perlawanan.

Pearly pula mengakui bahawa prestasi mereka sedikit menurun pada awal set kedua, tetapi mereka berjaya mendapatkan semula momentum dan kini akan memberi tumpuan kepada strategi untuk perlawanan esok.

Aksi di peringkat final esok merupakan yang pertama untuk Pearly-Thinaah untuk tahun ini, selepas sebelum ini hanya mampu bersaing pusingan pertama pada Terbuka Malaysia dan separuh akhir di Terbuka India.

Pada perlawanan akhir pada esok Pearly-Thinaah akan bertemu dengan satu lagi pasangan dari Korea Selatan iaitu Kim Hye Jeong dan Kong Hee Yong.

Sebelum itu, Kim dan Kong mengambil masa 55 minit untuk menyingkirkan gandingan China Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian, 21-17, 22-20.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2386679