GAYA HIDUP

Dengan Modal RM50, Ashraf Anuar Kini Miliki Perniagaan Bernilai RM 5 Juta

24/02/2025 11:28 AM

KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Melihat pada pencapaiannya hari ini, pasti tidak ramai yang menyangka pemilik jenama fesyen jalanan SVG Worldwide,  Ashraf Anuar, bermula dengan modal RM50 dan kreativitinya sahaja.

Hanya berusia 18 tahun ketika itu, Ashraf Anuar atau nama sebenarnya Muhammad Ashraf Khairul Anuar, 25,  berjalan kaki dari satu kedai ke satu kedai mencari pakaian terpakai unik untuk dijual, sebelum mengambil risiko mencetak koleksi pertama kemeja-T.

Siapa sangka, koleksi itu habis terjual dalam tempoh beberapa hari.

Kini memiliki perniagaan bernilai RM5 juta, Ashraf Anuar menjadi ikon fesyen jalanan tempatan, dan bertempat di The Yard, Sentul Depot di sini, pereka fesyen muda ini mengadakan pertunjukan fesyen solo pertamanya bertajuk "The Journey” pada 8 Feb lalu.

pic-2

Dalam satu kenyataan, Ashraf Anuar berkata pertunjukan fesyen itu bukan sekadar memperkenalkan koleksi Musim Bunga/Panas 2025  tetapi turut menceritakan evolusi beliau sebagai pereka fesyen.

Melihat fesyen bukan sekadar pakaian, tetapi merupakan cerita, pengalaman dan refleksi terhadap dunia di sekelilingnya, Ashraf Anuar mengetengahkan nilai estetik, inovatif dan berani pada setiap rekaannya.

"Setiap koleksi direka dengan menggabungkan elemen grafik yang rumit serta ilusi tiga dimensi untuk menyampaikan naratif unik,” kata beliau.

pic-3

Usahawan muda ini bukan sekadar mengubah landskap fesyen jalanan tempatan, malah turut membuka ruang kepada bakat-bakat baharu dalam industri itu.

Ashraf Anuar berharap pencapaiannya akan memberi inspirasi kepada pereka lain untuk menganjurkan pertunjukan fesyen berskala mega, sekali gus mengangkat industri fesyen Malaysia ke peringkat antarabangsa.

"The Journey” yang diadakan dengan pelaburan sebanyak RM3 juta, disifatkan sebagai pertunjukan fesyen jalanan solo terbesar dalam sejarah tempatan kerana melibatkan lebih 100 peragawan dan peragawati, selain turut menyajikan persembahan khas sebagai penghormatan kepada Palestin.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2395679