PASARAN

Niaga Hadapan Emas Ditutup Tinggi Selepas Rugi Dua Hari

12/03/2025 08:55 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatif ditutup lebih tinggi hari ini selepas komoditi itu mengukuh disebalik gencatan senjata Ukraine dan peningkatan hasil Amerika Syarikat (AS), yang dapat mencetuskan penjualan besar-besaran, kata seorang penganalisis.

Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata kestabilan ini mencerminkan isyarat positif untuk prospek emas yang lebih luas memandangkan pergerakkan ke bawah sebelum ini mula mencari sokongan.

"Bagaimanapun, pergerakkan ke atas masih samar dengan hasil yang lebih tinggi telah menghalang sebarang pembelian spekulatif. Namun, kunci kepada kenaikan yang berterusan kekal bergantung kepada permintaan bank pusat dan faktor ini terus mengukuh.

"Dengan Bank Rakyat China meningkatkan pembelian semula pada Februari, emas tetap utuh, meletakkan logam itu dalam potensi kenaikan yang lebih tinggi jika latar belakang makro mula menjajar," katanya kepada Bernama

Kontrak Mac 2025 meningkat kepada US$2,924.50 setiap auns troy daripada US$2,916.90 yang dicatatkan pada Selasa, manakala April 2025 naik kepada US$2,935.40 berbanding US$2,925.90. setiap auns troy sebelum ini.

Mei 2025, Jun 2025 dan Ogos 2025, masing-masing menokok kepada US$2,945.40 setiap auns troy daripada US$2,935.90 setiap auns troy.

Jumlah dagangan menurun kepada 187 lot berbanding 253 lot sebelumnya, manakala kepentingan terbuka merosot kepada 217 kontrak daripada 318 kontrak. 

Berdasarkan penetapan tengah hari london Bullion Market Association pada 11 Mac, harga emas fizikal ditetapkan pada US$2,916.90 setiap auns troy.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2401729