AM

JPJ Pahang Keluarkan 111,010 Saman Sejak Januari

17/10/2025 09:43 PM

KUANTAN, 17 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang telah mengeluarkan sebanyak 111,010 notis saman atas pelbagai kesalahan hasil pemeriksaan terhadap lebih 586,000 kenderaan bermula dari Januari hingga 15 Okt lepas. 

JPJ Pahang memaklumkan antara kesalahan tertinggi direkodkan melibatkan lesen memandu, cukai jalan dan tiada perlindungan insurans, manakala bagi kenderaan perdagangan berkaitan muatan mencatat sebanyak 10,281 kes. 

“Jumlah kes melibatkan saringan urin pemandu kenderaan barangan, persendirian dan lain-lain kenderaan direkodkan sebanyak 10 kes daripada 241 jumlah saringan,” menurut kenyataan itu. 

Sepanjang bulan Oktober ini, JPJ Pahang melaksanakan Operasi Khas Pemasangan Alat Keselamatan Kenderaan Perdagangan Speed Limitation Device (SLD) dengan 216 daripada 1,699 kenderaan diperiksa telah dikenakan tindakan. 

Menurut kenyataan itu, program advokasi keselamatan jalan raya turut diadakan sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran awam, khususnya menjelang musim perayaan ini apabila jumlah kenderaan di jalan raya akan meningkat dengan ketara.

Justeru, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mematuhi had laju dan papan tanda keselamatan, tidak memandu dalam keadaan mengantuk atau di bawah pengaruh alkohol, memastikan kenderaan diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan jauh serta tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480178