KOTA BHARU, 20 Okt (Bernama) -- Seramai 42 anak jati Kelantan bakal mempersembahkan teater bertajuk Raja Kubang Labu secara percuma selama dua hari bermula Jumaat ini di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, sebagai usaha mengangkat martabat seni dan budaya tradisional negeri itu ke pentas nasional.
Timbalan Pengerusi Pertubuhan Seni Rupa Jiwa, Nik Ahmad Farhan Nik Azim berkata pementasan tersebut menampilkan pendekatan kontemporari melalui gabungan lakonan, muzik dan tari yang disusun dalam bentuk persembahan eksperimental bagi memberi pengalaman baharu kepada penonton.
Beliau berkata, naskhah berkenaan bukan sekadar tontonan hiburan, sebaliknya sarat nilai warisan serta mencerminkan identiti bangsa yang wajar terus dipertahankan dalam arus kemodenan.
“Raja Kubang Labu sebelum ini dipentaskan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian pada 2023 dan di Universiti Prince of Songkla, Thailand, tahun lalu. Kedua-dua pementasan karya asal Sabri Mohd Zain itu menerima sambutan hampir 6,000 penonton bagi dua malam persembahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata kejayaan terdahulu itu meyakinkan pihaknya bahawa karya tersebut layak diperkenalkan di pentas yang lebih besar bagi membuka akses masyarakat umum terhadap teater Melayu berakar budaya.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Farhan berkata skrip asal teater Raja Kubang Labu ditulis oleh Zakaria Sabri Muhammad pada tahun 1954, menjadikannya antara karya teater Melayu awal yang mendukung kekayaan sastera rakyat serta nilai moral bangsa.
Berlatarkan kisah klasik penuh simbol kuasa, cinta dan pengkhianatan, naskhah itu diolah semula dengan pendekatan moden agar kekal relevan dengan realiti sosial masa kini.
“Penonton akan dibawa menelusuri perjalanan dramatik seorang raja yang diuji oleh takhta dan perasaan antara kekuasaan, kemanusiaan, dendam dan keinsafan,” katanya.
Beliau berkata pementasan kali ini turut membariskan bakat muda antaranya Hafiz Mustaffar, Nik Nur Shuhada dan Uda Ahmad, selain menampilkan pelakon berpengalaman, Datuk Fauziah Nawi, sebagai penggerak utama produksi.
Menariknya, teater ini dipersembahkan sepenuhnya menggunakan tenaga manusia tanpa bantuan peralatan teknikal moden bagi mengekalkan keaslian dan roh persembahan tradisional.
Menurut beliau, pementasan tersebut turut menerima sokongan melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, DBP serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan sebagai sebahagian usaha memperkukuh ekosistem seni persembahan negara.
Pihak penganjur menyasarkan kehadiran lebih 700 penonton sepanjang dua malam persembahan. Orang ramai yang berminat boleh mendapatkan tiket percuma menerusi laman sesawang Ticket2U di pautan www.ticket2u.com.my/event/46192/teater-eksperimental-raja-kubang-labu,” katanya.
-- BERNAMA