JENAYAH & MAHKAMAH

Elemen HADR Dalam Eksesais Aman Youyi 2025 Perkukuh Kerjasama Hadapi Bencana Alam

20/10/2025 08:28 PM

PUCHONG, 20 Okt (Bernama) -- Aspek bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) menjadi tumpuan utama dalam Eksesais Aman Youyi 2025 (EX AY25), antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan People’s Liberation Army (PLA) Republik Rakyat China yang sedang berlangsung sehingga Khamis ini.

Pengarah EX AY25, Kolonel Ismail Mohamed berkata melalui eksesais dwitahunan itu, kedua-dua pihak berpeluang berkongsi kepakaran serta meningkatkan kesiapsiagaan dalam melaksanakan operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan, sekali gus memperkukuh kerjasama dua hala dalam menghadapi bencana alam serta situasi kecemasan serantau.

“Eksesais selama sembilan hari yang dijadual berakhir pada 23 Okt ini, melibatkan pelbagai komponen latihan darat, laut dan udara termasuk pertukaran kepakaran serta latihan operasi amfibia.

“Eksesais kali ini agak unik kerana ia turut dilaksanakan di Pusat Simulasi Bencana, Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), dengan tumpuan kepada latihan Urban Search and Rescue (USAR). Ini merupakan kali pertama konsep sebegini dijalankan antara ATM dan PLA,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata anggota SMART turut terlibat sebagai pakar bidang (SME) bagi melatih anggota ATM dan PLA dalam operasi USAR.

Ismail menjelaskan latihan USAR memberi peluang kepada kedua-dua angkatan untuk memahami konsep penyelamatan yang melibatkan pelbagai agensi dan aset, berbeza daripada operasi SAR konvensional.

“Selain itu, kedua-dua pihak turut menubuhkan hospital medan di kawasan bencana, sebagai sebahagian latihan simulasi bagi memberi rawatan segera kepada mangsa semasa bencana,” katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Heavy Urban Search and Rescue Inspektor Abdullah Ahmad Sobri berkata eksesais itu, merupakan julung kali menggabungkan Pasukan SMART, ATM dan PLA, sekali gus menjadi platform terbaik untuk berkongsi ilmu, kepakaran serta menunjukkan kemampuan pada peringkat antarabangsa.

Beliau berkata latihan EX AY25 hari ini, merangkumi pelbagai modul termasuk operasi penyelamatan di aras tinggi menggunakan teknik seperti lowering, hauling dan transfer, selain latihan shoring bagi menstabilkan struktur bangunan runtuh.

“Secara keseluruhan, latihan ini melibatkan kira-kira 100 peserta gabungan daripada ATM, PLA  serta SMART, yang kolaborasi ini membantu memperkukuh kesepaduan operasi dalam menghadapi bencana sebenar di masa hadapan,” katanya.

Turut berlangsung ialah domain maritim yang dijalankan di Perairan Selat Melaka melibatkan ATM melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan PLA-Navy.

Dua kapal TLDM dan tiga kapal PLA kini melaksanakan Maritime Security (MARSEC), yang menonjolkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memelihara keselamatan dan kestabilan di laluan strategik berkenaan.

Secara keseluruhannya, eksesais ini melibatkan lebih 1,000 anggota tentera daripada kedua-dua pihak, merangkumi elemen darat, laut dan udara.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480878