PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Bercampur-campur Susulan Sentimen Berhati-hati

17/10/2025 10:28 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 17 Okt Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives mengakhiri minggu ini dengan prestasi bercampur-campur, turun naik di kedua-dua arah pasaran kerana sentimen kekal berhati-hati.

Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berpandangan harga minyak sawit biasanya mencapai kemuncaknya pada Oktober sebelum menurun apabila pengeluaran memasuki tempoh pengeluaran yang lebih rendah secara bermusim bermula November.

“Sepanjang minggu, kontrak niaga hadapan minyak sawit kebanyakannya menunjukkan aliran menurun, dengan kontrak bulan aktif mencatat penurunan sebanyak RM32 daripada harga pembukaan pada Isnin,” katanya kepada Bernama.

Sathia menambah sentimen pasaran tertekan akibat kelemahan dalam minyak sayuran berkaitan, jangkaan peningkatan pengeluaran Malaysia serta permintaan eksport yang lebih lembap selepas Deepavali dan kesemua faktor ini mengehadkan potensi kenaikan harga.

Senada dengan pandangan tersebut, peniaga minyak sawit David Ng memberitahu kelemahan harga minyak mentah turut menambah tekanan ke atas pasaran.

“Sehubungan itu, kami melihat paras sokongan pada RM4,430 setiap tan dan paras rintangan pada RM4,650 setiap tan,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2025 naik sebanyak RM8 kepada RM4,439 setiap tan manakala Disember 2025 susut RM1 kepada RM4,476 setiap tan dan Januari 2026 turun RM7 kepada RM4,513 setiap tan.

Kontrak Februari 2026 berkurang RM6 kepada RM4,527 setiap tan manakala Mac 2026 kekal tidak berubah pada RM4,518 setiap tan dan kontrak April 2026 meningkat sebanyak RM3 kepada RM4,496 setiap tan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 84,025 lot berbanding 94,132 lot pada Khamis manakala kepentingan terbuka menokok kepada 289,323 kontrak berbanding 277,195 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Oktober Selatan naik sebanyak RM10 kepada RM4,440 setiap tan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2480197