KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 5 Dis ini untuk keputusan rayuan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan berkaitan kenyataan di sebuah forum di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Peguam Lim Wei Jiet, yang mewakili Hannah memberitahu pemberita tarikh keputusan itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Radzilawatee Abdul Rahman pada prosiding pengurusan kes secara e-Review hari ini, yang turut disertai peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mewakili Musa.
Pada 17 Okt lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Azimah Omar, Datuk Dr Choo Kah Sing dan Datuk Dr Shahnaz Sulaiman menangguhkan keputusan rayuan selepas mendengar hujahan daripada semua pihak yang terlibat.
Hannah yang juga Menteri Belia dan Sukan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Dis 2024, yang menolak saman beliau terhadap Musa.
Pesuruhjaya Kehakiman Arziah Mohamed Apandi membuat keputusan itu selepas mendapati Hannah gagal membuktikan kenyataan dibuat oleh Musa adalah fitnah.
Pada 2020, Hannah telah memfailkan saman terhadap Musa berhubung kenyataan di forum itu pada 30 Jan 2020.
Hannah mendakwa Musa, dalam ucapannya antara lain menuduh beliau menulis bukunya yang bertajuk Becoming Hannah dengan tujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian, mempunyai hubungan dengan mubaligh Kristian dan Yahudi untuk menjejaskan agama Islam serta Malaysia, dan mengutamakan kepentingan peribadi beliau berbanding negara.
-- BERNAMA