AM

Jangan Politikkan Pemberian Khas RM600 Juta Kepada Sabah - Anwar

22/10/2025 04:33 PM

PUTRAJAYA, 22 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan Pemberian Khas Persekutuan sebanyak RM600 juta kepada Sabah.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sejak penubuhan Malaysia, kadar pemberian kepada Sabah adalah sekitar RM26 juta sebelum dinaikkan kepada RM300 juta oleh Kerajaan MADANI pimpinannya dan meningkat lagi kepada RM600 juta untuk tahun 2025.

“Tanggungjawab kita ialah mengangkat kedudukan, martabat, ekonomi, sosial semua negeri dan dalam memutuskan kerangka besar, kelulusan projek-projek Rancangan Malaysia Ke-13 dan Belanjawan Negara itu diambil kira,” katanya ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Integriti Nasional dan Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Ahmad Ramdzan Daud dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Anwar berkata Kerajaan Persekutuan mengambil maklum keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt, berhubung kajian semula pemberian khas Persekutuan kepada Sabah.

“Menghormati keputusan mahkamah, (maka) tetap perlu menjelaskan bahawa sebagai suatu negara yang terkait juga dengan integriti, kita mesti memenuhi dan melaksanakan janji kita terutama dalam semangat Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata hal berkaitan peruntukan kepada Sabah perlu diperjelaskan supaya ia tidak menjadi mainan politik individu tidak bertanggungjawab.

“Bila kita bicarakan soal governans, tatakelola dan integriti maka dia mesti dilihat secara menyeluruh. Kalau tidak, kita ini jadi mangsa orang politik picisan.

“Sebab itu di Parlimen, saya kata sebenarnya yang bantah ini juga dulu menteri-menteri, ada mantan perdana menteri dan (mantan) menteri-menteri wilayah, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Media hari ini melaporkan Kerajaan MADANI menunjukkan komitmen berterusan untuk menambah baik kemakmuran Sabah dengan meningkatkan Pemberian Khas Persekutuan kepada negeri itu sebanyak dua kali ganda kepada RM600 juta pada 2025, menjadikannya kadar tertinggi pernah direkodkan setakat ini.

Anwar berkata pembayaran penuh RM600 juta telah disalurkan pada 10 Sept lepas, hasil persetujuan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah selepas kajian semula dilaksanakan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481541