MELAKA, 21 Okt (Bernama) -- Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Melaka menasihatkan orang ramai mengelak melakukan sebarang aktiviti air di kawasan dilaporkan terdapat penampakan buaya di Pantai Klebang sehingga keadaan disahkan selamat.
Pengarahnya Petra Sulai berkata Perhilitan mengambil maklum laporan orang awam berhubung penampakan reptilia itu di kawasan pantai tersebut yang turut menjadi lokasi mencari kerang baru-baru ini.
“Susulan maklumat itu, Perhilitan telah menjalankan siasatan di lokasi bagi mendapatkan pengesahan kehadiran reptilia itu namun setakat ini, tiada tangkapan atau penemuan fizikal buaya direkodkan dengan pemantauan berterusan sedang dijalankan.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati, mengganggu atau cuba menangkap haiwan liar termasuk buaya sekiranya ternampak di kawasan terbuka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Petra berkata orang ramai boleh membuat laporan kepada Perhilitan Melaka berhubung hidupan liar menerusi talian 06-234 5610 atau hotline 1-800-88-5151.
Sebelum ini, penampakan buaya di Pantai Klebang tular di media sosial dan haiwan itu dikhuatiri bergerak ke kawasan orang ramai mengutip kerang sekali gus mengancam keselamatan awam.
Pantai Klebang menjadi tumpuan ramai sejak awal minggu lepas selepas dikesan terdapat banyak kerang di situ, hasil pelaksanaan aktiviti tabur induk kerang sebanyak dua metrik tan oleh Jabatan Perikanan pada 2023.
-- BERNAMA