PASARAN

Ringgit Ditutup Tidak Berubah Berbanding Dolar AS, Tinggi Berbanding Mata Wang Utama Lain

22/10/2025 08:24 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Ringgit ditutup tidak berubah berbanding dolar AS pada Rabu susulan sentimen berhati-hati menjelang jangkaan pertemuan antara pemimpin Amerika Syarikat (AS) dan China di Korea Selatan minggu depan.

Pada 6 petang, mata wang tempatan tidak berubah pada 4.2280/2325 berbanding dolar AS daripada 4.2280/2315 pada Selasa.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ketidakpastian berhubung pertemuan pemimpin AS-China berkaitan isu perdagangan membantu menyokong dolar AS buat masa ini.

"Perkembangan itu nampaknya telah (menyokong) nilai dolar AS. (Bagaimanapun) penutupan kerajaan AS (yang masih berterusan) dan kekurangan data penting (yang dikeluarkan) untuk Rizab Persekutuan AS membuat keputusan, telah memberi risiko, dan tidak dapat dipastikan bagaimana keadaan semasa boleh terus menyokong dolar AS," katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama.

Unit tempatan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6309/6368 daripada 5.6592/6639, naik berbanding euro kepada 4.9019/9072 daripada 4.9134/9174, dan mengukuh sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.7849/7880 daripada 2.7851/7875 pada Selasa.

Ringgit juga diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang negara ASEAN lain.

Unit tempatan menokok sedikit berbanding dolar Singapura kepada 3.2556/2593 daripada 3.2598/2628, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8573/8769 daripada 12.9048/9218, dan mengukuh berbanding peso Filipina kepada 7.23/7.25 daripada 7.26/7.27 pada Selasa.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding rupiah Indonesia kepada 254.9/255.3 daripada 254.8/255.2 sebelumnya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481653