PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Namun Meningkat Kemudiannya

23/10/2025 10:23 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada awal dagangan hari ini namun kemudiannya meningkat sedikit, didorong oleh minat belian terutama dalam kaunter perladangan dan pembinaan.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengukuh 0.85 mata kepada 1,603.54 daripada 1,602.69 semasa ditutup pada Rabu selepas dibuka menyusut 1.43 mata kepada 1,602.26.

Sentimen pasaran adalah negatif, dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 222 berbanding 145 manakala 298 kaunter tidak berubah, 2,031 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 254.08 juta saham bernilai RM183.56 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street scara umumnya ditutup lebih rendah berikutan kebimbangan mengenai ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China selain penutupan kerajaan AS yang masih berlarutan.

Di dalam negara, beliau berkata FBM KLCI menyusut hampir kepada paras 1,600 semasa ditutup semalam berikutan sentimen pasaran yang terkesan dengan penjualan saham yang ketara di pasaran serantau.

“Berdasarkan penurunan ini, kami menjangka dana asing sebagai penjual berterusan. Bagaimanapun, kami yakin aktiviti belian saham semasa harga rendah akan berlaku, justeru itu menjangka indeks meningkat dalam julat 1,600-1,610 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank rendah satu sen kepada RM9.85, CIMB menambah empat sen kepada RM7.24, dan IHH Healthcare naik dua sen kepada RM8.34. Public Bank dan Tenaga Nasional pula masing-masing tidak berubah pada RM4.21 dan RM13.08.

Bagi dagangan aktif, THMY yang mula disenaraikan di Pasaran ACE naik 48 sen kepada 79 sen, ECA Integrated meningkat dua sen kepada 25.5 sen, Innature mengukuh satu sen kepada 21.5 sen, dan Nationgate naik lima sen kepada RM1.22.

Antara saham paling untung adalah United Plantations, yang naik 36 sen kepada RM24.78, Kerjaya Prospek meningkat 11 sen kepada RM2.60, Petronas Dagangan menambah enam sen kepada RM22.30, dan Hwa Tai menokok 5.5 sen kepada 48 sen.

Bagi saham paling rugi, Solarvest rendah 10 sen kepada RM3.01, VSTECS susut tujuh sen kepada RM3.74, Sunway Construction dan Lim Seong Hai Capital masing-masing rendah enam sen kepada RM5.85 dan RM2.40.

Di papan indeks, Indeks FBMT 100 mengukuh 4.02 mata kepada 11,739.87, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 2.0 mata kepada 12,100.52, dan Indeks FBM Emas menambah 2.38 mata kepada 12,002.58.

Indeks FBM ACE menyusut 19.98 mata kepada 5,270.28 dan Indeks FBM Mid 70 berkurangan 3.54 mata kepada 17,110.65.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 9.36 mata kepada 18,077.60, Indeks Perladangan naik 16.29 mata kepada 7,924.11 manakala Indeks Tenaga menyusut 0.85 mata kepada 784.55 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.01 mata kepada 170.35.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481818