AM

MA63, Had Umur Pengguna Media Sosial Antara Tumpuan Perbahasan Minggu Kedua Belanjawan 2026

24/10/2025 09:42 AM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Isu pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan peningkatan Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah, serta cadangan mengehadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun, antara topik utama perbahasan minggu kedua Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat.

Kira-kira 40 lagi Ahli Parlimen selesai membahaskan rang undang-undang itu yang menyentuh pelbagai isu pembangunan, usaha kerajaan memperkukuh tadbir urus serta isu sosial berkaitan had umur minimum penggunaan media sosial yang dilihat semakin membimbangkan.

Dewan Rakyat tidak bersidang pada Isnin dan Selasa berikutan sambutan Deepavali namun sesi perbahasan disambung semula pada Rabu.

Datuk Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) berkata rakyat Sabah menghargai peningkatan pemberian khas kepada RM600 juta dan peruntukan RM6.9 bilion dalam Belanjawan 2026, namun pelaksanaan perlu telus dan selaras dengan semangat MA63.

Datuk Lo Su Fui (GRS-Tawau) pula membangkitkan isu ‘tiga serangkai’ yang membelenggu Sabah iaitu jalan raya, bekalan elektrik dan air yang perlu diselesaikan secara menyeluruh demi kesejahteraan rakyat luar bandar.

Pada masa sama, beberapa Ahli Parlimen menyokong cadangan kerajaan mengehadkan umur minimum penggunaan media sosial kepada 16 tahun bagi membendung kesan negatif teknologi itu terhadap perkembangan mental dan sosial remaja.

Datuk Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mahu pelaksanaannya disegerakan, Young Syefura Othman (PH-Bentong) pula menekankan mekanisme verifikasi umur dan tanggungjawab platform manakala Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) serta Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) mahu kawalan kandungan dipertingkatkan. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) pula mencadangkan satu pelan pendidikan sahsiah menyeluruh digubal selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi membentuk pelajar berakhlak dan berdaya tahan terhadap pengaruh media sosial serta kecerdasan buatan.

Semasa sesi penerangan khas pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Kerajaan MADANI telah mencapai kemajuan dalam menyelesaikan banyak isu MA63 bagi Sabah, dengan 13 tuntutan diselesaikan menerusi Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Antara tuntutan yang dipersetujui termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) kepada kerajaan Sabah, dengan Kerajaan Persekutuan terus menyediakan RM1.2 bilion bagi menjamin kelangsungan bekalan elektrik di negeri itu. 

Anwar turut menyatakan Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah dinaikkan kepada RM600 juta pada 2025, kadar tertinggi setakat ini dan telah dibayar penuh pada 10 Sept lepas, kenaikan itu bersifat interim sementara kaedah perkiraan kekal dimuktamadkan mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata perbelanjaan Persekutuan untuk Sabah dijangka mencecah RM17 bilion pada 2025 dan 2026, manakala peruntukan pembangunan dalam Belanjawan 2026 hampir RM7 bilion, termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B serta Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu.

Kerajaan turut menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt mengenai kajian semula pemberian khas dan akan meneliti alasan penghakiman sebelum tindakan lanjut diambil.

Dalam pada itu, di sebalik persediaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 minggu depan, Perdana Menteri hadir di Dewan Rakyat pada Khamis bagi menjawab soalan semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, berkaitan penganjuran sidang kemuncak itu serta langkah kerajaan memperkukuh keselamatan sekolah melalui kerjasama pelbagai pihak.

Ketika sesi perbahasan pada Khamis, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul turut memaklumkan bahawa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa depan akan dijawab oleh menteri-menteri berkaitan, memandangkan Perdana Menteri akan mempengerusikan Mesyuarat Kepengerusian ASEAN ke-47 pada hari berkenaan.

Johari turut menasihatkan Ahli-Ahli Parlimen supaya merancang perjalanan ke bangunan Parlimen lebih awal berikutan sekatan dan lencongan trafik yang akan dilaksanakan sempena sidang kemuncak itu.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482277