BALIK PULAU, 24 Okt (Bernama) -- Siasatan teknikal terperinci kejadian tanah runtuh di Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) di sini akan dilakukan sebaik sahaja kerja-kerja pembersihan selesai.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata keutamaan kini untuk menyiapkan kerja berkenaan yang giat dijalankan kontraktor dilantik supaya laluan itu dapat dibuka semula setelah diarahkan tutup selama 48 jam hingga 6 petang esok.
“Siasatan awal mengesahkan runtuhan dan kegagalan cerun disebabkan hujan lebat dan angin kuat. Langkah pembaikan dan mitigasi termasuk kos akan diputuskan selepas laporan agensi teknikal diterima,” katanya selepas meninjau lokasi runtuhan itu hari ini yang disertai Pengarah JKR negeri Datuk Ahmad Nadzri Abdul Majid.
Zairil berkata lokasi runtuhan berkenaan belum selamat untuk dilalui berdasarkan pemerhatian Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pagi ini kerana pergerakan tanah masih berlaku berikutan terdapat aliran air.
Beliau berkata selain runtuhan kritikal di Kilometer 5.1 itu, terdapat beberapa lagi insiden di sepanjang jajaran laluan itu melibatkan 15 cerun terbuka, tujuh pokok tumbang, empat runtuhan batu dan satu mendapan jalan.
“Pagi ini juga terdapat kejadian tanah runtuh kritikal di jalan persekutuan berhampiran Titi Kerawang Bendera, di sini yang menyebabkan separuh jalan terpaksa ditutup,” katanya.
Sementara itu, Zairil berkata keseluruhannya sebanyak 31 kes pokok tumbang direkodkan dengan tindakan telah diambil melibatkan kerjasama pelbagai agensi antaranya bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM), MBPP, JKR serta polis.
Semalam, media melaporkan insiden tanah runtuh di Jalan Tun Sardon sekitar 4.30 petang itu turut mengakibatkan pokok tumbang sehingga menghalang laluan kenderaan.
-- BERNAMA