AM

Dana RM20 Juta Perkukuh Program Jiwa Murni - Adly

25/10/2025 05:11 PM

ALOR GAJAH, 25 Okt (Bernama) -- Peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan Program Jiwa Murni (PJM) tahun hadapan dijangka memperkukuh kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan masyarakat awam dalam pelbagai inisiatif berbentuk khidmat komuniti.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata pelaksanaan PJM yang disusun secara lebih progresif dan bersasar menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC) itu akan memberi kefahaman lebih mendalam kepada rakyat bahawa mempertahankan negara adalah tanggungjawab bersama. 

“Dengan dana RM10 juta yang sedia ada, PJM telah melaksanakan lebih 300 program menyantuni masyarakat. Melalui tambahan dana ini, pelbagai inisiatif dapat diperluas, khususnya di kawasan luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli serta di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan PJM Peringkat Negeri Melaka di Kampung Belimbing Dalam di sini hari ini.

Menurut Adly, program dua hari yang bermula semalam itu merangkumi pelbagai pengisian termasuk pameran statik aset dan senjata ATM, promosi kerjaya dari Rejimen 514 Askar Wataniah, pemeriksaan kesihatan, kaunter khidmat Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM selain acara larian santai 5 kilometer.

Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan cek cura kepada lima penerima manfaat di bawah PJM Melaka, empat penerima inisiatif Perumahan JHEV ATM, empat veteran ATM, 13 penerima Projek Mesra Rakyat Parlimen Alor Gajah  serta menyampaikan 500 Bakul Rahmah kepada wakil masyarakat, persatuan veteran dan komuniti setempat.  

Dalam perkembangan lain, Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah, berkata ATM sentiasa bersiap siaga dan akan bekerjasama erat dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam menghadapi musim banjir yang kini melanda Kedah, Pulau Pinang dan Perak. 

“Kita sentiasa cakna dengan situasi semasa. Anggota dan aset ATM berada dalam keadaan siap sedia bagi membantu negeri-negeri yang terjejas. Seperti banjir di Sabah baru-baru ini, ATM akan segera digerakkan sekiranya diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482999